Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Bahagia Terletak Pada Sifat Redha
- adnieyl
- 16 years ago
- 4,574
BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang
kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu,
rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata
itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan
kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.
Pakar motivasi menyatakan:
"Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala
hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat
keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika
ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu
juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).
Semua baik, baik dan baik. Apa
yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta
tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah
memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas'ud apabila ditanya:
"Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau
menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah
lagi?"
Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi
pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan
dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan
pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah
bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda.
Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon
di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita
adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk
kita. Dia yang memilih, yang Maha
sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.
Sebagai manusia biasa ada kalanya
kita ‘tidak terima' dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan
itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut' di puncaknya, kemudian surut dengan
perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun reda
ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya." (Surah
al-Bayyinah, 98, ayat 8)
Ada dua rahsia yang terkandung
dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa
apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian
itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap
cuma nikmat yang paling berharga.
Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda
ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang,
masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan
menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.
Tetapi mengapa pula kita merajuk
jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa
dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang di amuk, di pejabat, di
pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang
sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini.
Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda.
Hidup tidak tenang, dikejar rasa
takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan
dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang
‘diam' dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan
oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang
formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal
perasaan lagi beriman.
Tanda reda ada tiga. Pertama
adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi
rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan
sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.
Kedua, ketika susah ingatlah
dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa
yang ada pada diri.
Ketiga, ikhtiar jangan berhenti.
Reda bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis
namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang
menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang
bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama reda kepada Allah.
Reda dengan apa yang dikurniakan
sesungguhnya setiap apa kurniaan adalah mengikut bahagian bukan keseluruhan. Malah
bersyukur adalah tunas keredaan.
Sumber: Berita Harian (21 Ogos 2006) dengan sedikit pindaan
"Life can give u a hundred reasons to cry,
But u can give life a thousand reasons to smile"
Renung, fikir dan ambil iktibar sebagai panduan hidup...
Assalamualaikum.......