Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Istilah asas dalam karya Novel / Cerpen
- Upenyu
- 16 years ago
- 8,679
TEMA
“…persoalan pusat atau persoalan pokok dalam sesebuah novel. Persoalan pusat ini menjadi inti kepada keseluruhan idea yang diterapkan di dalam keseluruhan perjalanan cerita, di dalam tema ini wujudnya semua cita-cita pengarang di dalam novel dan ia juga menjadi konsep abstrak yang disampaikan melalui watak-watak dan imej-imej atau simbol.”
Rahman Shaari (1985:99)
1. Tema merupakan persoalan utama dalam sesebuah karya seperti cerpen atau novel.
2. Tema diolah berdasarkan sesuatu motif.
3. Tema dapat dikesan melalui:
- perwatakan watak-watak
- peristiwa, kisah, suasana, nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan
- plot cerita
4. Sesuatu tema itu lazimnya dihidupkan dengan memasukkan beberapa persoalan lain yang ada hubungannya dengan tema utama. Wujudnya persoalan yang pelbagai dalam karya bertujuan menghidupkan dan memperkukuhkan tema.
WATAK & PERWATAKAN
“… orang-orang yang mendukung gerak dalam perjalanan plot sesebuah cerita disebut watak. Perwatakan pula ialah system bagaimana pengarang mencipta dan menyusun ke atas watak-watak ciptaanya.” Hashim Awang
1. Watak ialah manusia atau pelaku yang dicipta oleh pengarang untuk mendukung tema dan persoalan serta mengembangkan tema sehingga mencapai matlamat pengarang.
2. Namun begitu, tidak semestinya watak-watak terdiri daripada manusia sahaja. Adakalanya, ditampilkan binatang, tumbuh-tumbuhan, makhluk asing dan objek tertentu.
3. Perwatakan ialah sifat-sifat fizikal dan mental, tabiat, perilaku, sifat keperibadian watak seperti bercita-cita tinggi, benci dan sebagainya.
4. Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, bercakap, rupa paras, kepercayaannya dan ideologi serta gambaran perasaan seseorang.
5. Watak utama
- memainkan peranan utama dalam sesebuah cerita
- yang menggerakkan atau mengembangkan cerita
6. Watak sampingan
- watak pembantu yang menyokong tindak-tanduk watak utama dalam mengembangkan cerita.
- Bilangannya lebih banyak daripada watak utama
7. Watak bulat / bundar / kompleks
- watak yang berperanan seperti manusia realiti, iaitu mengalami kejatuhan, kebaikan, keuntungan dan kerugian, kebahagiaan dan sebagainya.
8. Watak pipih / datar / sederhana
- watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhan tetapi diperkenalkan melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja.
9. Watak protagonis
- yang berperanan sebagai watak utama
- tidak semestinya hero, tetapi sering menjadi watak penting
10. Watak antagonis
- penentang ulung kepada watak protagonis
11. Watak dinamik
- watak yang berubah, sama ada dari aspek psikologi atau aksi
- bagi menentukan satu-satu watak itu dinamik, kita perlu lihat peristiwa yang berlaku kepada watak berkenaan dan sikap watak berkenaan, sama ada drpd fikirannya, pandangan hidupnya atau niatnya.
- Perubahan yang berlaku mungkin drpd situasi yang kurang baik menjadi baik atau sebaliknya.
12. Watak statik
- watak yang tidak mengalami sebarang perubahan tingkah laku atau fikiran dari awal cerita hingga ke akhirnya.
PLOT
1. Plot ialah sesuatu yang menghubungkan antara peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap peristiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hokum sebab dan akibat.
2. Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan mengapa terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan factor-faktor sebab dan akibat.
3. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi.
4. Permulaan plot ialah peringkat permulaan (eksposisi) iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar dan suasana.
5. Perkembangan plot mengakibatkan konflik.
6. Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita iaitu perumitan.
7. Perumitan menuju kepada puncak (klimaks) di mana tercapainya konsentrasi yang maksimum. Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian.
8. Agar plot lebih menarik, pengarang menggunakan teknik lain untuk menyampaikan ceritanya seperti imbas kembali, imbas muka, konflik, klimaks, saspens, kejutan dan sebagainya.
9. Imbas kembali
- mengungkapkan semula kisah, kejadian, peristiwa, suasana atau masalah yang dialami oleh watak-watak sebelum kisah ini. Teknik ini dikemukakan melalui dialog watak, monolog, monolog dalaman, ingatan watak, renungan atau mimpi.
10. Monolog
- tutur kata watak secara bersendirian dan lebih merupakan usaha menyatakan perasaan dan fikiran.
11. Monolog dalaman
- kata hati watak untuk merakamkan isi hati, pergolakan batin dan fikiran watak yang tidak dilahirkan dalam bentuk dialog atau monolog.
12. Imbas muka
- gambaran sesuatu yang akan berlaku untuk memberi pengetahuan awal kepada pembaca tentang apa-apa yang akan berlaku seterusnya.
13. Konflik
- pertentangan fizikal, moral, fikiran, emosi dan nasib yang digambarkan sebagai pertentangan antara watak protagonis dengan watak antagonis. Konflik timbul akibat pergeseran pendapat, pemikiran, pandangan dan sikap hidup antara watak-watak.
14. Klimaks
- saat paling tegang dan paling menarik minat pembaca.
15. Saspens
- merupakan kemuncak naluri ingin tahu pembaca terhadap sesuatu peristiwa yang akan berlaku berikutnya. Saspens merupakan unsur utama menarik dan mengekalkan minat pembaca.
16. Kejutan
- sesuatu kejadian, keadaan atau perubahan sikap dan pandangan hidup sesuatu watak yang dapat menimbulkan rasa ingin tahu pembaca untuk menyelusuri lanjutan cerita.
LATAR
1. Latar berperanan memberikan suasana kepada peristiwa dan manusia yang terdapat dalam cerita.
2. Latar penting dalam mengembangkan tema, persoalan, plot, watak dan perwatakan.
3. Latar merangkumi pelukisan geografi, topografi, pemandangan, bangunan, peralatan, tanggungjawab watak, waktu dan sebagainya.
4. Latar tempat
5. merupakan ruang atau tempat peristiwa berlaku yang berkaitan dengan lokasi geografi.
6. Latar waktu & masa
- menunjukkan masa peristiwa berlaku seperti zaman, era, sejarahnya atau musimnya.
7. Latar masyarakat
- menunjukkan gambaran keadaan masyarakat dalam cerita merangkumi bangsa atau etnik, status dan kehidupan social, ekonomi dan sebagainya.
SUDUT PANDANGAN
1. Berperanan untuk mengisahkan sesuatu cerita dan menjelaskan siapa yang menceritakn sesuatu kisah. Maka sudut pandangan mempunyai hubungan yang erat dengan watak.
2. Sudut pandangan orang pertama
- pengarang bercerita sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak sampingagn. Sudut pandangan ini disebut sebagai gaya bahasa aku.
3. Sudut pandangan orang ketiga tidak terbatas
- kerap digunakan di mana pengarang mengisahkan ceritanya melalui watak lain menggunakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu dia dan mereka atau lengkap dengan nama. Pengarang bersikap serba tahu dan beas bercerita untuk mengemukakan emosi, fikiran dan pergolakan jiwa watak-watak.
4. Sudut pandangan orang ketiga terbatas
- pengarang tidak menceritakan semua peristiwa atau watak tetapi hanya akan memilih watak-watak tertentu dan penceritaannya tertumpu kepada mereka. Watak-watak lain diceritakan serba sedikit sahaja.
NILAI & PENGAJARAN
1. Nilai bermaksud sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan & lain-lain) manakala pengajaran bermaksud peringatan dan pedoman.
2. Contohnya: baik hati, berdikari, hemah tinggi, hormat-menghormati, kasih saying, keberanian, keadilan, kejujuran, kerajinan, semangat bermasyarakat, kesyukuran dsb.
PERUTUSAN / AMANAT
Pemikiran atau gagasan yang menjadi dasar sesebuah karya sastera, iaitu perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dari segi moral, pendidikan dan sebagainya.
.