Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Pencarian Jiwa Dalam 'The Song Of Sparrows' (2010)
- kamalia
- 14 years ago
- 185,749
Kredit gambar di sini
Saya baru menonton filem ini semalam setelah kawan-kawan lain sudah pun menonton filem ini dengan jayanya lebih awal daripada saya. Hal ini membuatkan saya sedikit kecewa, berasa ketinggalan dan tidak senang duduk kerana saya masih belum menontonnya lagi ketika itu. Nak baca ulasan fasal filem ni pun rasa takut-takut sebab nanti ada spoiler. Saya mencari di kedai-kedai video, tak jumpa (saya sebenarnya tak tahu macam mana nak download filem kihkihkih!). Jadi saya hanya boleh menangis dalam hati apabila kawan-kawan saya mengagumi filem ini dengan menulis di status Facebook mereka.
Hendak tonton di Midvalley, masa tayangannnya sudah tamat. Maka saya pendamkan sahaja perasaan itu sehinggalah terdetik di hati untuk ke Youtube. Mana tau kot-kot ada ke. Hey! Memang ada dan rasa sangat teruja. Jadi saya menontonnya sehingga tamat. Ini adalah sedikit ulasan tidak profesional saya mengenai filem arahan pengarah Iran tersebut, Majid Majidi.
Sinopsis.
Filem The Song of Sparrows (2010) tak silap saya merupakan filem terbaru pengarah Majid Majidi. Filem ini mengisahkan tentang Karim , yang mempunyai seorang isteri dan 3 orang anak. Anak pertamanya, Haniyeh mempunyai masalah pendengaran, anak keduanya, Hussein mempunyai cita-cita untuk menternak ikan bersama kawan-kawannya dengan harapan dapat menjadi seorang jutawan dan seorang anak perempuan kecil yang comel. Karim dan kawan-kawannya bekerja makan gaji sebagai seorang penjaga burung kasawari milik tuannya
Suatu hari, seekor burung kasawari jagaan Karim terlepas. Dia berusaha mengejar burung tersebut. Penonton boleh lihat betapa dia bersungguh-sungguh mencari burung tersebut sehingga dia memakai bulu burung tersebut dan menyamar menjadi burung kasawari semata-mata untuk menangkap semula burung itu. Tetapi hampa. Dia gagal dan dia dipecat. Karim berasa sedih dan kecewa sambil berkata sendiri, “Ini tidak adil.” Ini kerana selain daripada hidup serba sederhana, Karim perlu bekerja untuk membeli alat pendengaran untuk anaknya Haniyeh yang telah rosak kerana Haniyeh bakal mengambil peperiksaan nanti.
Dipendekkan cerita, semasa di Tehran dia telah disalah anggap sebagai seorang pemandu penumpang (Karim menaiki motor) apabila seorang ahli perniagaan secara tiba-tiba membonceng motor Karim. Maka, sejak dari itu dia bekerja sebagai pemandu penumpang. Dia juga mula mengumpul barang-barang terpakai yang dijumpai di sekitar Tehran untuk dibawa pulang ke rumah walaupun barang-barang tersebut tidak digunakannya pun.
Okey, berhenti sampai sini dulu. Saya akan bagi ulasan saya yang tidak seberapa ini tentang filem The Song of Sparrows(2010).
Semasa Karim menjadi pemandu penumpang, dia menghantar seorang lelaki di sebuah tapak pembinaan. Lelaki tu terberi wang lebih tetapi Karim tak sempat memanggil lelaki itu untuk pulangkan baki yang lebih itu. Dia menggunakan duitnya beserta duit baki tersebut untuk membeli 2 kilo buah untuk keluarganya, tetapi semasa dalam perjalanan hampir separuh daripada buah tersebut tercicir lalu jatuh ke dalam sungai. Ia seolah-olah sebagai simbolik bahawa berlaku penyucian di dalam rezekinya atau mungkin untuk menyelamatkan dia dan keluarganya daripada memakan rezeki yang bukan haknya. Ada satu babak di mana Karim telah menunaikan solat di satu kawasan terbuka yang sunyi tetapi solatnya menjadi tidak khusyuk (matanya melilau-lilau) apabila dia menyedari ada sebuah kereta yang ingin melalui kawasan tersebut. Namun diteruskan juga solatnya. Babak seterusnya penonton dapat melihat ada seseorang (mungkin pemandu kereta itu) memberinya segelas minuman dan mendoakannya ketika dia masih sedang solat. Majidi di dalam babak tersebut seolah-olah ingin memberitahu bahawa Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Mengasihani walaupun manusia tidak mengingatiNya dengan bersungguh-sungguh.Pada hari Karim dipecat, dia telah dihadiahkan oleh rakannya sebiji telur kasawari. Isterinya memasak telur tersebut lalu Karim mengarahkan anaknya, Hussein untuk mengagihkan beberapa pinggan telur tersebut kepada jiran-jiran. Ini berbeza setelah Karim mula bekerja di Tehran, hidupnya lebih bersifat materialistik. Sehingga dia sanggup mengambil semula pintu biru yang dipercayai dikutip oleh Karim di Tehran daripada sepupunya sendiri. Sebenarnya isterinya yang memberi pintu tersebut kepada sepupunya. Karim sempat menasihati isterinya agar jangan terlalu bermurah hati kepada orang lain sehingga tiada apa untuk diri sendiri. Ini menyebabkan isterinya menangis. Barang-barang terpakainya akhirnya memakan diri sendiri apabila kakinya patah dan dia terjatuh di dalam timbunan barang-barang tersebut. Barang-barangnya itu akhirnya diberikan kepada jiran-jiran (termasuklah pintu biru tersebut). Ikan-ikan yang terdampar di atas jalan semasa anaknya, Hussein bertungkus lumus untuk menyelamatkan ikan-ikan tersebut daripada lemas kerana bekas yang bocor menyebabkan Hussein dan rakan-rakan berasa sangat kecewa lalu menangis. Ini kerana Hussein dan rakan-rakannya berusaha untuk membeli ikan tersebut dan bertungkus lumus membersihkan perigi berlumpur untuk menternak ikan. Hasrat mereka adalah untuk menjadi jutawan. Untuk menenangkan hati Hussein dan rakan-rakannya yang sedang bersedih atas kematian ikan-ikan mereka, Karim menyanyikan sebuah lagu yang bermaksud, “Hidup ini hanya tipu daya. Hidup ini hanya mimpi.” Ini membuatkan Hussein dan rakan-rakannya yang lain kembali senyum.
Kesimpulannya, Majid Majidi sangat hebat dalam meletakkan metafora dan simbolik-simbolik di dalam filem ini. Filem ini membuatkan saya secara peribadi berfikir dan termenung selepas menonton filem beliau. Ada banyak lagi yang Majidi cuba sampaikan di dalam filemnya ini. Anda harus menontonnya kerana ia sebuah filem spiritual yang baik. Kalau tidak berjumpa dengan DVDnya bolehlah tonton di Youtube. Untuk ulasan yang lebih umph! saya mohon anda sila baca di sini.
P/S: Kalau rajin, tontonlah juga filemnya yang bertajuk The Willow Tree (2005) yang mengisahkan seorang profesor buta yang akhirnya dapat melihat semula dan betapa beliau merasakan kehidupannya semasa buta lebih indah daripada semasa beliau dapat melihat (dan tentulah ia digambarkan oleh Majidi dengan rasa yang sungguh halus dan indah sekali).