Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Sisa Kemaafan Di Hujung Jalan Pulang (1)

 

          Hembusan bayu lembut menyelerakkan dedaun senduduk kering yang gugur di serata jalan. Unggas-unggas kecil hinggap pada dedahan mati kudengar seakan mendendangkan lagu-lagu sedih. Bunga-bunga matahari di sepanjang pinggir jalan tegak berdiri tetapi ku lihat petalnya layu menundukkan muka ke bumi. Seperti mengalah kepada populasi imprata cylindrica yang semakin berkoloni. Di sini, di bangku kayu tepi jalan ini aku mengarahkan mata pada dada langit. Kawanan awan kelabu yang mula menangis pilu kurenung infiniti. Seakan awan itu adalah segumpal hatiku yang menyembunyikan rajuk yang sudah lama membeku. Cuma bezanya, aku ingin titiskan hujan dari kelopak mata ini tetapi sukar benar. Sedangkan bekunya di dalam hati semakin menyesak. Mahu sahaja aku cairkan jika aku punya kebolehan. Jika aku tidak memiliki kedegilan.

Sudah sebulan lebih aku jejakkan kaki ke ibu kota ini. Selama itulah juga aku tidak tahu menahu apakah yang telah berlaku pada emak di kampung, dan apa yang berlaku pada majlis pertunangan yang aku tinggalkan itu.

.......................

"Mak! Kenapa mak buat macam ni pada Biah?!" Sergahan suara amarahku setibanya aku di rumah. Kain-kain tempahan yang aku jinjing ku hempaskan di atas meja. Mataku memandang tepat ke wajah mak yang masih tenang meneruskan ayunan kaki pada mesin jahitnya.

"Mak??" Soalku meninggi apabila mak masih tidak memberikan jawapan. Hanya bunyi putaran laju roda mesin jahit usang yang kedengaran.

"Mak, jawab Biah mak!" Marahku.

"Supaya..kau boleh lupakan si Rizman...." Acuh tak acuh sahaja jawapan keluar daripada mulut mak, mesin jahitnya masih ligat berputar.

Darahku tersirap. Rupanya mak masih mahu memisahkan aku dengan Rizman. Dari dulu mak tak suka aku berhubungan dengan Rizman. Mak membenci Rizman tanpa memberi alasan yang munasabah kenapa mak berlaku seperti itu. Tindakan mak kali ini memang aku tak dapat menerimanya. Aku menuju ke tempat mak. Berdiri di hadapan mesin jahitnya, dengan tangan yang kucekak di pinggang aku merenung mak. Mak yang tenang masih meneruskan sahaja ayunan kakinya.

"Apa yang salahnya pada Rizman mak?!!" Tengkingku di hadapan wanita tua itu. Amarahku meledak tidak dapat kubendung. Kerana cinta aku buta segalanya. Ibu kesayangan aku sanggup tengking bila marah.

Senyap bila bunyi mesin jahit mak berhenti. Mak mendongak lalu memandang tepat ke arahku. Aku menjegilkan mata menunjukkan amarahku yang meledak. Mak dengan wajah tenangnya merenung aku seketika. Satu hembusan keluh dilepaskan kemudian mak tunduk semula menyambung jahitannya. Perlahan butir-butir kata mak mendatar kedengaran,

"Kau tak dengar ke cerita orang kampung Biah? Rizman tu sudah jadi anak kota, lupa daratan....satu kampung heboh cerita cara hidup si Rizman tu...berganti-ganti perempuan berkepit dengan dia..hidup dia berfoya-foya..kau jangan nak berangan lagi nak tunggu dia datang pinang kau nak..."

Aku menggelengkan kepala menidakkan. "Itu semua tak betul mak. Semua tu fitnah..orang kampung sengaja buat cerita sebab dengki dengan Rizman. Mak jangan percaya. Biah kenal Rizman tu sejak kecil lagi, Biah tahu Rizman tu macam mana mak."

Perihal yang tidak betul tentang Rizman sudah tersebar ke seluruh kampung. Sudah seminggu cerita itu tersebar. Aku yakin cerita itu hanya fitnah semata-mata. Rizman tidak mungkin akan berubah. Dan kini mak pula ambil kesempatan dengan fitnah ini, sengaja dijadikan alasan untuk aku ditunangkan dengan orang lain. Supaya aku dipisahkan daripada Rizman. Tindakan mak kali ni menguji tahap kesabaranku.

"Kau di kampung ni apa kau tau pasal dia, dah berbulan dia pindah KL, sampai sekarang tak pernah jenguk lagi ke kampung ni. Entah apa kejadahnya dia dah buat kat KL tu sampai heboh satu kampung asyik cerita buruk pasal dia. Tu ha, Si Lan anak Pak Haji Sudin sebelah rumah tu yang baru balik dari KL, dia sendiri yang bagi tau mak..takkan itu pun kau kata fitnah?"

"Tidak mak. Biah tahu hati budi Rizman mak..jauh lebih baik dari yang mak sangkakan. Rizman..."

"Rizman!Rizman!Rizman! Kenapa degil sangat kau ni Biah?! Kan mak dah lama suruh kau lupakan budak tu! Kenapa masih tak nak dengar cakap mak ni?!!" Tengking mak sambil merenung tepat ke wajahku. Aku terkedu menelan liur. Lalu ku tunduk diam dan mengetap bibir dengan geram.

Aku tahu pertengkaran aku dengan mak memang takkan ada hasilnya. Setiap kali nama Rizman dibangkitkan, setiap kali itulah pertengkaran aku dengan mak meletus. Pertengkaran yang selalunya mengakibatkan aku dan mak tidak bertegur selama beberapa hari. Tapi pada akhirnya, aku juga yang mengalah untuk memohon maaf daripada mak. Mak seperti aku juga, degil. Setiap keputusan yang dibuatnya tidak mungkin dapat berubah walau sekuat mana aku menentang. Tapi keputusan yang dibuat mak kali ini benar-benar mahu mengkikis kedegilan hatiku, yang dalam masa yang sama semakin menebal. Akukah yang salah sedangkan mak yang bertindak tidak munasabah? Keputusan mak kali ni memang berat untuk aku terima. Sungguh, mak tak faham hati anaknya ini. Aku mejatuhkan punggung di kerusi. Geram dan amarahku membuak. Aku mendengus keras, kain perca di atas kerusi kucarik-carik dengan geram.

Mak memandangku dengan gelengan kepala. Disusuli keluhannya lagi. "Sudahlah nak..tak usah nak bantah-bantah lagi..." mak mula bertutur lembut tanda amarahnya reda. Aku mencukakan airmuka. Siapa yang tidak sakit hati dengan tindakan dasyat yang mak dah buat. Memang nak aniaya aku dan Rizman. Mak bangkit dari bangku kayunya lalu mengambil tempat duduk di sisiku. Perlahan-lahan tangan mak menyentuh kepalaku mengusap rambutku dengan lembut. Sesungguhnya, belaian kasih seorang ibu ketika itu aku tidak menilainya dengan baik.

"Nak, mak buat semua ni untuk kebaikan anak mak juga. Untuk masa depan Biah sayang." Tutur mak lembut. Aku membatu terasa sakit dalam hati. Aku tahu mak berhak tentukan masa depanku, tapi masa depan yang dipilihkan untukku ini benar-benar meragut kebahagiaanku. Andainya mak memahami kebahagiaan masa depanku hanya pada Rizman, pastinya akulah anak yang paling gembira di dunia ini. Namun itu angan yang mustahil..jauhnya langit dari bumi, masakan bintang dihajat dapat dipetik sedang kedua belah tangan diikat pada pokok yang mencengkam bumi.

"Lagi pun bakal tunang Biah tu bukan siapa-siapa, anak saudara Pak Haji Sudin juga. Azlan tu tu sungguh baik budaknya. Biah bila dah kenal rapat dengan dia nanti, mesti Biah juga akan sukakan dia..mak buat semua ni untuk kebaikan Biah sayang..."

Tutur lembut mak sambil mengusap-usap bahuku dan sebelah tangan lagi mengangkat daguku. Kulihat senyuman terukir di wajah seorang ibu. Kasih yang terpancar dari garis-garis usia di raut wajah suci itu membuatkan aku membalas dengan senyuman manis walaupun di dalam hati ini terasa seperti dibelah dengan gergaji tumpul.

----------------------------------------------

Aku merenung tujuh dulang hantaran yang siap digubah kemas tersusun di tepi katil. Tujuh dulang itulah yang akan bertukar tangan dengan bakal tunangku pada hari esok. Jika diikutkan hati, mahu saja aku rosakkan dan selerakkan semua hantaran itu. Hempaskan segala-galanya. Biar majlis pertunangan esok terbatal. Sakit hati ini semakin beraja, namun aku masih mampu menahan. Kuhempaskan tubuh di atas katil. Kutekup kepala dengan bantal. Sesungguhnya aku tersiksa kerana dipaksa. Paksaan yang akan meragut impian dan angan-anganku untuk hidup bahagia bersama orang tersayang, iaitu Rizman. Aku sayang pada mak, dan aku juga sayang pada Rizman. Kedua-duanya aku sayang. Di dunia ini aku hanya ada mak dan Rizman. Aku tersepit dalam dilema yang benar-benar menyepit diriku dari kiri dan kanan. Antara Rizman dan mak, mana satu hati ni harus turutkan? Nak ditelan mati bapa, nak diluah mati mak.

Aku sedar tindakan aku yang masih meletak harap pada cinta yang tergantung adalah tidakan yang bodoh. Tapi hati ini tetap degil, membatu sekeras kerang. Masih mempertahankan cinta pada kekasih lama walaupun telah terputus hubungan setahun yang lalu. Rizman pergi dengan janji akan kembali. Tetapi sudah enam bulan, Rizman tidak juga munculkan diri. Surat daripada Rizman hanya ku terima tiga bulan berturut-turut sahaja. Selepas itu tiada lagi warkah rindu yang diutus padaku. Juga panggilan telefon dan mesej daripadanya tidak lagi mengganggu malam hariku. Dia tidak menghubungiku dan aku juga tidak dapat menghubunginya. Entah kenapa nombor telefonnya sudah tidak ada lagi dalam perkhidmatan..

Aku masih akan pertahankan bahawa janji yang termeterai antara aku dan Rizman adalah janji yang tidak mungkin dimungkiri. Tidak oleh aku, dan harap-harap tidak juga oleh dia. Selagi tidak mendengar kata putus dari mulut Rizman sendiri, selagi itu aku masih berpegang pada janji. Tapi di mana Rizman di saat genting ini? Bagaimana untuk aku pergi mencarinya sedangkan mulai esok aku akan diikat dengan tali pertunangan oleh anak Pak Haji Sudin? Persoalan yang masih belum terjawab mematikan akalku.

Deringan telefon yang kuat membingitkan telinga. Aku tekupkan lagi kepala sekuat-kuatnya dengan bantal. Dendangan lagu dari telefon itu benar-benar menyakitkan telingaku, perlahan-lahan tanganku merayap ke meja tepi katil mencapai telefon yang masih riang berdendang. Kulihat pada skrin tertera nombor telefon yang tidak ku kenali. Aku menekan butang jawab.

"Hello sayang.." Suara di talian menyapa lembut gegendang telinga. Ungkapan sayang menusuk ke dalam sukma. Lalu di dalam hati berbisik bahawa suara itu pemilik orang yang dirindu. Dadaku pantas berombak laju.

"Riz...." tuturku perlahan.

"Ye sayang...Riz ni. Biah apa khabar?"

Rasa sebak dalam hati tidak dapat kubendung. Hati ini yang selama enam bulan merintih tiba-tiba terasa membisa sakitnya. Linangan hangat gugur di pipi tanpa kupinta. Esakanku kedengaran kuat, tidak mampu untuk kutahan.

"Biah, kenapa ni? Please jangan nangis sayang..Riz dah kembali ni. Maafkan Riz kerana sekian lama tak hubungi Biah.."

Lama aku menangis melepaskan rintihan yang membeku, biar cair dan membanjiri kolam rasa. Riz di talian membisu seribu bahasa. Aku bersuara setelah tangisku reda, jemari menyeka sisa airmata lalu bersuara dengan tenang.

"Kenapa sekarang baru munculkan diri? Riz tak tahukah Biah menderita menanti di sini bagai sang pungguk yang bodoh? Kemana Riz pergi selama ni?...."

"Maaf...maafkan Riz..."

Hanya sepatah dua jawapannya. Aku menunggu tutur kata selanjutnya tapi senyap. Tiada penjelasan yang aku harap. Ringkas sungguh. Hati lelaki terlalu simplekah sehingga aku sendiri tak dapat kaji apa yang ada di hatinya?

"Maaf?? Hanya itu? yang Riz nak katakan??" Ketenangan dalam tutur kataku mula hilang.

"Biah, Riz dah kembali ni. Biah tak gembirakah Riz kembali ni? Hmm sayang?" Rizman dengan nada pujukannya. Seperti selalu, memanggilku dengan panggilan sayang.

"Riz, cukup mudah bagi Riz...tapi cukup sukar untuk Biah. Riz tau tak esok Biah akan ditunangkan dengan orang lain??"

"Riz tahu, sebab tu Riz datang. Riz nak bawa Biah ikut Riz. Kita kahwin lari!"

Aku tergamam. Gegendang telingaku seakan baru menerima pukulan lembut...hasutan. Aku menelan air liur.

"Tapi...."

Kata-kataku dipintas oleh Rizman. Dia tahu aku tidak mempunyai kekuatan untuk bertindak di sedemikian. Dia memujukku dengan pujukkan yang benar-benar mencairkan hati buta seorang gadis.

"Tapi Riz, "

Berberapa kali perkataan ‘tapi' aku ungkapkan, dia tetap memberikan alasan, pujukan, rayuan untuk aku melanggar pantang larang seorang gadis kampung. Ketika benteng pertahan diriku ini telah rapuh, disimbah dengan pujukan yang deras, maka runtuhlah dengan mudah. Akhirnya..hati yang sarat merindu menjadi keliru, dimakan pujuk rayu sang kekasih. Adat keluarga aku pijak semata-mata kerana dia.

Talian diputuskan. Aku berkira-kira seketika. Inilah peluang aku. Peluang aku untuk menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Peluang aku untuk melepaskan diri dari kemelut paksaan untuk ditunangkan esok. Telefon bimbit kucampakkan ke tilam. Aku melompat turun dari katil menuju ke almari. Beg pakaian ku keluarkan. Beberapa helai pakaian dan kelengkapan penting ku masukkan ke dalam beg. Aku mesti berangkat malam ni. Tanpa berfikir panjang menggunakan akal yang dianugerahkan Tuhan, aku melakukan tindakan bodoh seumur hidupku.

Aku bersiap dan menunggu sehingga pukul 11 malam. Aku tahu mak tengah lena waktu itu. Tepat pukul 11 aku mengatur langkah meninggalkan rumah senyap-senyap melalui jendela kayu bilikku. Beg pakaian kubaling ke bawah, kemudian aku menerjunkan diri dengan berhati-hati dan sesenyap yang mungkin. Aku cepat-cepat mengambil beg pakaian dan berlalu dari situ. Sempat aku berpaling ke pondok tuaku. Terasa sebak dalam hati, kakiku berat untuk melangkah, cepat kutempis rasa itu. Aku nekad saat ini. Aku tak mungkin berpatah balik. Maafkan Biah mak...

Aku berjalan kaki menerusi denai belakang rumah Pak Haji Sudin menuju ke jalan raya. Kawasan yang cukup gelap, hanya cahaya dari celah dinding rumah Pak Haji sahaja yang bersinari samar. Membantu penglihatanku untuk bergerak. Aku mempercepatkan langkahan, pastinya Rizman sudah tiba di simpang jalan hujung kampung, aku tak mahu dia menunggu lama. Langkahanku yang meredah gelap denai membunyi ranting-ranting patah, memecah kesunyian. Secara tiba-tiba aku di sapa oleh satu suara dan suluhan lampu.

"Siapa?" soal suara sedikit garau itu.

Aku mendongak ke beranda dapur rumah Pak Haji Sudin. Suluhan lampu picit menyilaukan pandanganku. Aku melindung dengan lengan. Cepat-cepat suluhan dialihkan, dan aku mengecilkan anak mata cuba memerhatikan siapakah gerangan pemilik suara itu.

"Saudari nak ke mana malam-malam ni?"

Soalnya lagi sambil menuruni anak tangga. Suara itu ternyata bukan suara Pak Haji, kalau suara Pak Haji aku kenal benar. Dia berdiri di hadapanku, baru jelas kulihat tubuhnya..kelihatan seorang lelaki umur awal tiga puluhan. Wajahnya tidak dapat kulihat jelas dalam samar-samar cahaya.

"Er, saya nak ke Pekan." Jawabku ringkas. Tiada alasan lain yang dapat kukelentongkan. Keluar malam ke pekan? sedangkan pekan dah tutup selewat petang.

"Malam-malam macam ni?" Soalnya curiga sambil menyuluh kearah tanganku yang menjinjing beg pakaian. Aku mengangguk teragak-agak. Dia menyuluh wajahku dengan sinar kuat lampu picitnya. Silau. Aku mengelak. Lama disuluhnya seakan menelitiku dan secara tiba-tiba dengan kasar tangannya memegang pergelangan tangan lalu merentap beg pakaianku.

Aku terkesima. Aku menjerit tapi suara kusekat dikerongkong. Takut kalau-kalau orang lain terdengar, lain pula jadinya.

"Kalau awak nak lari dari rumah biar saya hantar awak!" Keras bunyi suaranya. Dia bergegas naik ke atas rumah bersama beg pakaianku, dan turun semula. Aku terkebil-kebil melihat tindakannya. Lengganku ditarik dengan kasar, membawa aku mengikutnya ke sebuah Perdana di hadapan rumah Pak Haji Sudin. Aku meronta kuat melepaskan lenganku.

"Awak nak buat apa ni ha??" Suaraku keras walau perlahan.

"Awak nak lari kan? Di mana dia tunggu awak? Biar saya tolong hantarkan.."

"Awak siapa?!"

"Azlan..anak saudara Pak Haji."

Aku terdiam. Aku menelah air liur. Bercampur baur perasaan ketika ini, takut, benci, geram, dan.. rasa bersalah..

"Masuklah!" Sergahnya mengejutkan aku yang termangu. Pintu kereta tenganga menanti aku masuk. Aku bertambah bingung. Kaku.

"Jangan risau, pasal majlis esok tu saya taulah macam mana nak uruskan. Awak nak masuk ke tak?" Soalnya lagi.

Seperti lembu dicucuk hidung aku menurut. Bermulalah cerita penyesalan yang tidak berkesudahan.




Bersambung............

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) wah..apa yang akan terjadi..adakah biah akan dijual ke siam?heheh..cepat sambung nurie..
  • 2) ngaaaa??? Azlan pi antarkan???? *ternganga*
  • 3) nuri ni dasyat ler hehehehe.. nak lagi....
  • 4) wowwwww
    intro dia agak klise, tapi bila dah masuk, wow!
    this is new!
    i like!
    i like!

    tak sabar nak tahu sambungan.
  • 5) air tangan Nurie...sedap... =)

    ikut ckp mak, insyaallah berkat..
  • 6) gile ah...

    azlan msti sgt keciwa..sbb tu dia wat cmtu~~

    biah oh biah~
  • 7) whoa... nuri nak lagi... =)

  • (Penulis)
    8) after exam baru post k. :)
  • 9) >smBunG plEz.....cpat2!! ah..:)
  • 10) baru ada masa nak baca...nak baca part 2 pulak ni..anyway...best citer ni..

Cerpen-cerpen lain nukilan nurie

Read all stories by nurie