Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kerana Zuriat

 

\"baby\"


Suasana petang di Taman Tasik Shah Alam begitu mendamaikan sekali. Namun kedamaian itu tidak mampu untuk mendamaikan hati Iqbal yang dilanda keresahan.

Sekumpulan burung merpati terbang bebas hinggap di dahan-dahan pokok angsana. Beberapa ekor merpati yang lain leka mematuk makanan yang diberi pengunjung. Sesekali ingin sahaja dia menjadi seekor burung merpati yang terbang bebas tanpa memikirkan masalah dalam hidup.

“Ina tahu apa yang abang fikirkan. Kalau abang rasa itu jalan yang terbaik, tak mampu Ina nak halang abang, Ina izinkan kalau itu yang abang mahu.”

Iqbal memejamkan matanya sambil mengingati semula kata-kata isterinya itu, perasaan sayu dan hiba datang meruntun hatinya. Tidak semudah itu dia akan membuat keputusan tanpa mengambil kira hati dan perasaan isterinya.

Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa membelai lembut wajah Iqbal. Sejuk dan nyaman sekali. Dalam keresahan sebegini hembusan angin petang gagal mengusir keresahan di hatinya.

Sudah hampir setengah jam dia duduk di kerusi batu yang tersedia di situ setelah penat berlari mengelilingi tasik yang seluas empat ekar ini. Tasik yang terletak hanya satu kilometer dari rumahnya menjadi lokasi kunjungan dia dan isterinya untuk beriadah setiap hujung minggu.

Petang yang reduh itu, Iqbal sendirian tanpa ditemani oleh isterinya. Terasa sepi berada di taman ini tanpa isterinya. Kebiasaannya Ina akan menemaninya berlari-lari anak mengelilingi tasik. Isterinya yang putih kulitnya dan agak sedikit gempal badannya akan tercungap-cungap. Sering sahaja Iqbal akan mentertawakan gelagat isterinya. Mudah sahaja baju Ina akan dibasahi peluh sebaik sahaja tamat berlari satu pusingan mengelilingi tasik ini.

Hari ini Ina keberatan mengikutnya atas alasan tidak sedap badan. Agak hairan juga Iqbal kerana selama ini tidak pernah bersikap begitu. Risau juga kalau Ina ada menyembunyikan penyakit dari pengetahuannya.

Perlahan-lahan disapunya sisa-sisa peluh yang masih ada di lehernya. Badannya yang agak susut sedikit kebelakangan ini mungkin kerana terlalu memikirkan masalah yang dihadapinya.

Iqbal halakan pandangannya ke arah sekumpul anak-anak kecil yang sedang bermain-main riang di taman permainan di hadapannya. Gelak ketawa anak-anak begitu menghiburkan hatinya Begitu leka sekali dia memerhati. Dia tersenyum sendiri melihat gelagat dan keletahan anak-anak itu. Si montel yang berbadan sedikit besar berebut-rebut dengan adiknya untuk duduk di atas buaian yang hanya satu saja kosong.

Matanya tersorot ke arah sepasang suami isteri yang masih muda usia sedang bermain-main bersama sepasang anak mereka. Si anak perempuan mungkin baru berusia satu tahun manakala seorang lagi lelaki yang mungkin baru berusia dua tahun. Terbit rasa cemburu di hatinya bila melihat pasangan suami isteri bersama-sama anak-anak mereka bermain riang sekali. Kadang-kadang rasa cemburu itu bagai tusukan jarum di hatinya. Seolah-olah mahu sahaja diia menjerit meluahkan keresahan hatinya.

Lapan tahun mereka berkongsi hidup melayari bahtera perkahwinan. Perkahwinan yang amat membahagiakan. Namun mereka sunyi dari suara anak-anak. Mereka teramat rindukan suara tangis dan ketawa anak-anak yang terlahir dari darah daging mereka berdua.

Iqbal sedar, perkahwinannya dengan Ina adalah pilihan hatinya sendiri. Mereka bertemu sewaktu menuntut di universiti. Walaupun pilihannya itu tidak direstui oleh kedua ibubapanya tapi berkat ketabahan menghadapi segala ujian dan dugaan, akhirnya berjaya juga mereka jinjang perkahwinan.

Dia amat bersyukur kerana Ina begitu sabar menghadapi kerenah ibunya yang sedari awal telah mempunyai gadis pilihan hatinya sendiri untuk dijodohkan dengan Iqbal. Berkat kesabaran dan doa yang selalu dipanjatkan kepada Maha pencipta, akhirnya Ina mula diterima sebagai menantu oleh kedua orang tuanya.

Pengujung-pengunjung taman tasik mula berkurangan. Senja kian berlabuh. Beberapa ekor burung gagak mula kelihatan turun mematuk sampah dan sisa-sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung. Kumpulan burung merpati telah lama terbang pergi.

Dalam keadaan lemah longlai, Iqbal segera bangun meninggalkan bangku batu itu, perlahan berjalan pulang membawa resah yang mengunung.

 

***

Di renung tajam ke wajah isterinya. Seolah-olah tidak percaya apa yang telah isterinya ungkapkan. Semulia itukah hati isterinya hingga sanggup berkongsi sesuatu yang paling disayangi dengan perempuan lain.

\"Abang nak kahwin lagi, kahwinlah bang. Ina izinkan. Ina tahu abang rindukan suara tangisan anak-anak. Maafkan Ina bang kerana masih tak mampu memberikan abang zuriat.” Perlahan dan sayu isterinya menuturkan kata-kata.

“Abang menyintaimu Ina. Tiada perempuan selain dirimu sahaja.” Bisik lembut Iqbal sambil mengesat titis air mata yang mengalir di pipi Ina.

“Demi kasih sayang Ina pada abang. Abang kahwinlah. Ina faham perasaan abang. Abang ingin zuriat dari darah abang sendiri. Ina faham.” Balas ina sambil mencium tangan Iqbal sebagai tanda pengorbanan seorang isteri.

Iqbal faham, tidak mudah bagi seorang isteri membuat keputusan untuk berkongsi kasih seorang suami bersama wanita lain. Rasa belas dan kasih pada isterinya tidak memungkinkan dia mudah mengambil keputusan. Pengorbanan yang ingin isterinya lakukan itu amat berat sekali. Tidak ubah memikul satu beban sebesar gunung pengorbanan itu.

“Abang kahwin sajalah dengan Rahimah. Ibu abang pasti setuju. Sekurang-kurangnya kita dapat mengubati kemarahan yang selama ini terpendam di hati ibu dan ayah abang.\"  Balas ina.

Dia terbayangkan Rahimah, anak gadis rakan kongsi perniagaan ayahnya. Usianya lima tahun lebih muda dari usia Iqbal. Ibunya bersungguh-sungguh untuk menjodohkan dia dengan Rahimah. Tiada cacat cela gadisnya. Rupanya begitu menawan, berkulit putih dan baik budi bahasanya. Iqbal hanya menganggap Rahimah seperti adiknya sahaja, tidak lebih dari itu. Gadis ini memang bersedia untuk menjadi isteri keduanya. Keluarga Rahimah seramai tujuh orang adik beradik , pasti gadis ini mampu memberikannya zuriat.

Bagaimana kalau setelah mengahwini Rahimah, dia masih gagal mendapatkan zuriat. Bukankah ini bererti pengorbanan isterinya itu sia-sia sahaja. Sedangkan perkahwinannya nanti dengan Rahimah semata-mata kerana inginkan zuriat.

Bukan dia dan Ina tidak pernah berusaha. Pemeriksaan doktor telah dilakukan menunjukan mereka tidak bermasalah. Malah mereka pernah berikthiar melalui teknik IUI iaitu memasukkan benih suami ke dalam rahim isteri seperti yang disyorkan oleh doktor, masih juga gagal. Hingga kadang-kadang Iqbal merasakan putus asa untuk terus berikhtiar.

Umurnya kini sudah tiga puluh lima tahun dan Ina pula sudah tiga puluh tiga tahun. Rakan-rakan sebaya mereka dalam usia begini ada yang telah mempunyai empat orang anak. Malah rakan-rakan dia mereka yang berkahwin kemudian darinya pun telah mempunyai beberapa orang anak. Sudah tidak lagi mampu dia menerima sindiran dan dijadikan bahan gurauan serta usikan dari sanak saudara dan kawan-kawan.

“Abang, abang dah lupa dengan ceramah ustaz di surau kita malam tadi, bila matinya anak adam itu, maka terputuslah ia dengan dunia ini kecuali tiga perkara, ilmu yang ditinggalkan, amal jariahnya dan doa dari anak-anak yang soleh.” Ujar Ina lagi.

Dipejamkan matanya. Iqbal sedar tentang perkara, masih jelas ingatannya pada setiap patah kata-kata ustaz malam tadi, tapi apa yang mampu dibuat. Dia sayangkan Ina, tapi isterinya masih belum mampu menghadiahkan cahaya matanya. Dia perlu anak untuk menyambungkan keturunannya dan mendoakannya waktu dia berada di alam sana.

Tiada lagi ikhtiar kecuali perkhawinan baru dengan gadis lain. Itu sahaja yang terfikir oleh Iqbal sekarang. Rahimah telah bersedia untuk menjadi isteri keduanya pada bila-bila masa. Isterinya telah memberi restu. Yang perlu dipohon cuma restu kedua ibubapanya untuk perkahwinan kali kedua ini........


***

 

“Mana Ina, dia tak ikut datang?“ Soal ibu sebaik Iqbal menyalami tangan dan mencium pipi ibunya.

Iqbal merenung ke wajah jenih ibunya yang duduk di hadapannya sambil mengait sehelai baju bayi yang separuh siap. Betapa tenang ibunya menghadapi usia yang kian meningkat. Malah masih sihat tanpa penyakit yang menyerang dalam usia enam puluhan sama seperti ayahnya juga. Cuma kebelakangan ini ibunya sudah mula memakai cermin mata terutama apabila ingin membaca dan mengait baju.

\"Saya datang seorang sahaja bu! Ina kurang sihat.\" Jawab Iqbal perlahan, sambil melabuhkan punggungnya ke kerusi kayu rotan yang berkusyen biru. Ada sedikit keresahan di hati Iqbal.

”Kamu kelihatan resah sahaja?” Soal ibu sambil merenung ke wajah Iqbal. Cermin matanya diturunkan sedikit.

Iqbal hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala. Namun dia tahu riak di matanya jelas membayangkan keresahan yang mendalam seperti ingin segera diluahkan kepada ibunya. Namun masih belum mampu dia mengeluarkan kata-kata.

“Terus terang sahaja dengan ibu. Ibu tahu mesti ada sesuatu yang ingin kamu perkatakan.”  Soal ibu Iqbal lagi.

Suasana malam agak tenang. Sayup-sayup terdengar suara orang berceramah dari masjid yang tidak jauh dari rumah ibunya itu. Kerusi kayu rotan sesekali berbunyi bila ibu mengerakkan badannya yang agak sedikit berisi.

”Ayahmu ke masjid, sebentar lagi pulanglah dia.” Terang ibu bila melihat mata Iqbal melilau seolah-olah mencari sesuatu.

”Sejak setahun lalu, ibu sering saja mengait benang menyiapkan baju bayi. Iqbal rasa bersalah kerana kami belum lagi mampu menghadiah cucu-cucu yang ayah dan ibu lama nantikan.” Ungkap Iqbal perlahan.

Ibu berhenti mengait. Baju yang masih belum siap tu diletakan ke atas meja. Cermin mata yang sedang dipakai segera dibuka. Dahi seakan berkerut. Wajah Iqbal dipandang tepat. Ibunya seakan sedang mengumpulkan kata-kata.

”Dahulu, ibu dan ayah lama menunggu kedatangan kamu. Kami tidak pernah berputus asa dan sentiasa berbaik sangka dan redha dengan apa yang Allah takdirkan untuk kami. Selepas menunggu selama hampir sebelas tahun, akhirnya Allah menganugerahkan kamu kepada kami. Kami bersyukur kerana penantian itu tidak sia-sia.” Jelas ibunya sambil mengesat akhir mata yang tiba-tiba mengalir.

Ibu segera mencapai kembali baju bayi yang sedang dikait tadi sambil memakai cermin matanya semula lantas segera menyambungkan kerja mengait itu.

”Maaf ibu, kerana itulah, Iqbal tak mahu lagi ibu bersedih hati?” Berhati-hati Iqbal mengeluarkan kata-kata sambil direnung wajah ibunya.

”Apa maksud mu Iqbal?!” Tiba-tiba ibu menyoal agak keras, bagai dapat menangkap sesuatu yang ingin Iqbal sampaikan.

”Ibu, Iqbal ingin berkahwin lagi.” Jawab Iqbal yang tersentak dengan terjahan keras ibunya tadi.

Ibunya tergamam, tidak menjangka persoalan berkahwin lagi itu yang ingin diperkatakan Iqbal. Ada riak kemarahan seperti api yang bernyala di mata ibunya .

“Ibu tidak izikan kau berkahwin lagi! Tidak sama sekali! Belum ada dalam salasilah keluarga kita berkahwin dari satu. Ibu tak setuju! Ayahnya mu juga tidak akan setuju!” bentak ibu. Suara ibu keras sekali membantah hasrat Iqbal.

Iqbal hanya diam membisu. Kata-kata ibunya kata-kata keramat. Membantah pasti akan menimbulkan kemarahan yang berpanjangan. Dia tidak mahu lagi mengulangi cerita yang sama sewaktu ingin menikahi Ina.

“Tidak bolehkah kamu bersabar sedikit dengan ujian Allah ini! Kalau ibu dan ayah sendiri masih mampu bersabar menantu kelahiran cucu kami, kenapa kamu tidak boleh? Bukankah kamu berdua telah disahkan oleh doktor mampu menghasilkan zuriat. Cuma belum rezeki kamu berdua lagi. Banyakkan berdoa kepada Allah moga disegerakan. Ibu dan ayah juga sentiasa mendoakan untuk kamu berdua!” ibunya keras menuturkan kata-kata bagai satu arahan yang perlu dia patuhi.

Suasana tiba-tiba hening. Hanya terdengar bunyi kipas angin yang berputa-putar ligat. Namun lembut hembusan angin yang terhasil dari putaran kipas itu tidak mampu menyejukkan hati keduanya, Iqbal dan ibunya.

“Ina dah izinkan Iqbal berkahwin lagi satu mak. Iqbal tak pernah memaksa. Rahimah pun telah bersetuju. Bukankah Rahimah dulu pernah ibu cadangkan menjadi isteri Iqbal.” Jelas Iqbal mengharapkan ibunya memahami.

“Apa sekali pun alasan kamu, ibu tetap tidak izinkan perkahwinan ini!” Bentak ibunya keras

“Ibu, Iqbal akan teruskan juga perkahwinan ini. Iqbal dah tak sanggup menunggu lagi!” Balas Iqbal yang nekad dengan keputusannya.

Ibunya diam. Riak di wajah ibu jelas kurang senang dengan keputusan Iqbal. Baju bayi yang terhenti dikait, disambung semula. Ibunya seolah enggan lagi meneruskan bicara. Tumpuan dialihkan kepada sulamannya.

Iqbal sedar, pasti hati ibunya terluka dengan keputusannya untuk berkahwin dengan Rahimah. Keputusan Iqbal tetap, meneruskan perkahwinan dengan Rahimah demi untuk  memiliki zuriat dari darah dagingnya sendiri.

 

****

Majlis pernikahan itu akan bermula jam 9.00 malam, sebaik sahaja selepas solat isyak. Hujan renyai yang turun semenjak senja masih lagi berterusan, tanpa tanda-tanda akan berhenti. Majlis yang  diadakan di rumah ibubapa Rahimah yang hanya kira-kira 500 meter sahaja dari masjid. Hanya sanak saudara terdekat sahaja yang dijemput. Ibubapa Rahimah memutuskan hanya mengadakan majlis pernikahan sahaja kerana mereka akan mengahwini suami orang.

Di ruang tamu rumah, dengan berpakaian lengkap baju melayu putih, bersongkok hitam dan bersamping kain sutera hitam, Iqbal duduk tenang menanti kehadiran Tok Kadi. Wajahnya sesekali kelihatan resah. Beberapa titis peluh mengalir perlahan di pipinya segera dilapkan dengan sehelai sapu tangan kecil. Ada debaran didadanya.

Sesekali Iqbal melihat jam di tangannya. Matanya melilau melihat kelibat kedua ibubapanya. Dia sedikit kecewa dan sedih, kedua ibubapanya tidak hadir Walau berkali Iqbal menjemput mereka hadir. Mungkin masih marah dengan keputusan Iqbal meneruskan perkahwinan ini.

Pelamin berwarna ungu tersergam indah di ruang tamu menanti sepasang pengantin. Hadirin yang terdiri dari sanak saudara mulai resah, Tok Kadi masih lagi belum tiba. Sesekali ayah Rahimah menjenguk ke luar pintu kalau-kalau Tok kadi telh tiba.

Nun di satu sudut ruang, Ina dengan rela turut mengikuti majlis pernikahan ini. Walau telah dipujuk Iqbal agar menunggu di rumah sahaja kerana kesihatan fizikal dan emosinya agak terganggu tapi Ina masih berkeras untuk turut sama menyaksikan majlis pernikahan suaminya.

Iqbal faham dan amat menghargai pengorbanan Ina. Sebagai seorang wanita, pasti hati Ina terluka dengan perkahwinan ini. Walau apa pun terjadi, kasih Ina tidak akan dia abaikan.

Rahimah yang telah didandan cantik oleh Mak Andam telah bersiap dengan berpakaian baju kurung dan seledang sutera putih, duduk di bucu katil di dalam kamar pengantin menanti saat bahagia yang akan menjelma. Haruman bunga mawar semerbak menghiasi kamar pengantin.

Rahimah pasrah kalau takdirnya akan bertemu jodohnya dengan suami orang, dia terima sahaja walau terdetik juga di hatinya rasa bersalah. Namun dipendamkan sajaha. Lagi pun isteri Iqbal sendiri telah memberikan persetujuan. Dia memang mencintai Iqbal sejak diperkenalkan oleh Ibubapa Iqbal kepadanya. Iqbal menepati cirri-ciri lelaki idamannya. Malangnya Iqbal memlih Ina rakan sepengajian Iqbal di universiti sebagai isteri. Tiada penyesalan di hatinya menerima Iqbal mejadi suami walaupun sebagai isteri kedua.

Dari celah pintu kamar, Rahimah mengintai ke ruang tamu. Tok Kadi dan pembantunya tiba lalu mengambil ruang tempat di tengah-tengah ruang tamu.

Iqbal duduk bersila di hadapan Tok kadi. Ayah Rahimah sebagai wali di sebelah kanan Tok Kadi. Rahimah dengan diiringi pengapitnya keluar dari kamar pengantin lalu duduk tidak berapa jauh di sebelah kanan Iqbal. Rahimah hanya  tunduk tersipu sambil sesekali menjeling ke arah Iqbal.

Tok kadi membelek beberapa dokumen di hadapannya. Majlis pernikahan akan dimulakan. Suasana sepi. Para hadirin semuanya memberikan tumpuan kepada upacara pernikahan yang akan bermula pada bila-bila masa.

”Abang Iqbal, kak Ina pengsan!” Tiba-tiba satu laungan suara terdengar dari penjuru ruang tamu.......



Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) nnt ek saya smbg bc..sok ada test..

  • (Penulis)
    2) ok
  • 3) “Ina dah izinkan Ikbal berkahwin lagi satu mak.. mak tu ibu kan..jln cerita sy phm bang sham..cuma ntahla bg sy kurang menyentuh prasaan sy..maybe belum kawin kot..jgn mrh..tp isu yg dibawa tu mmg berat..isu poligami ni..
  • 4) ehem, ehem, Pak Penyu... ada yang 'kurang' ni... hehehe...
    ejaan dan struktur ayatnya ada sedikit kekhilafan...

  • (Penulis)
    5) Thanks paktam & riri,

    Memang ada kekurangan dan kelemahan. Ia masih draft, pak penyu harap akan ada komen yg lebih detail untuk menguatkan cerita ni. Agak buntu sedikit.

  • (Penulis)
    6) Pak penyu tengah berfikir camner nak selit masuk cerita watak rahimah yg tak jadi menikah tu.. ada cadangan, tak lengkap rasanya bila tak sentuh pasal Rahimah
  • 7) mungkin leh jd Rahimah ni goda Iqbal tu kahwin dgn dia,buat iqbal tmbh pusing...cdgn jer.
  • 8) bg sy da ok dah. watak rahimah tak perlu panjang sebab fokus utama adalah kisah Ina dan Ikbal je kan? cukup sudah pakpenyu masukkan siapa rahimah (yg hampir dijodohkan dengan Ikbal), mcm mana boleh hampir kawen ngn ikbal (sbb rahimah tak kawen lg, ina izinkan). pasal camne dia boleh tak jadu kawen ngn ikbal pon rasanya pembaca dah boleh faham.

    sekadar pandangan seorang pembaca.
  • 9) plot turutan yang menarik... nice
    kalau nak suspen biar buat klimaks dpt thahu isterinya hamil setelah selesai upacara pernikahan... menonjolkan kebuntuan ikbal yang terburu2... mesti suspen kan dan pembaca lebih tertanya2
    ini sekadar pendapat pembaca...
  • 10) senangnya jawab 'majlis dah selesai' gila kejam
  • 11) btl kata syud, gila kejam. abg sham kena gak lah citer pasal rahima tuh. klu tak, rasa macam tergantung. akhirannya dah tahu. cume mungkin pembaca patut tahu, ape jadi kat rahimah?

    sekadar pendapat
  • 12) 1. dulu kecik2 ada klasmet saya nama rahimah. mak saya pun berkenan tgk.
    2. wah kejam gile ikbal. camtu je dia batalkan pernikahan??
    3. mengenai doa anak yang soleh. dulu ustaz saya cakap tak semestinya anak sendiri. bila kaji hadis2 tu, dia tak kata "anaknya". tapi sekadar "anak". nabi dulu bila tahu penjaga masjidnya dah mati pun mendoakan arwah.

    tak tahu la kalau saya tersilap. tapi mcm ini yang saya belajar dulu. wallahu 'alam. kena tanya yang lebih ahli.

  • (Penulis)
    13) Terima kasih kepada semua yang sudi komen.

    shazmiey, terima kasih andna membaca saya

    Adreena, pandangan yang cukup menarik. Saya boleh bayangkan konflik yang akan berlaku, memang pasti cerita ini akan bertambah menarik. Saya kena pecah kepala semula. Insyaallah saya akan usahakan. Tapi untuk kapasitor ni, yang ini saya rasa memadai.

    Syud, bacaan anda tajam. memang kejam. tapi cerita saya ini saya lebihkan dari sudut pandangan Iqbal. Watak Rahimah telah saya berikan sedikit rasa. Sila baca balik.

    Robot, hidup memang macam tu la, kadang perlu kejam untuk hidup. macam kita yang perlu korbankan seekor ayam semata-mata melayan nafsu makan.

    caha, perbahasan samada doa-doa dari manusia yang mamsih hidup dunia samada sampai kepada simati masih lagi berlangsung.

    Teima kasih kerana sudi membaca.
  • 14) pertamanya bot respek dgn abg sham, dgn rajinnya menekan butang edit, dan menulis balik beberapa perkara yg kurang dalam cerpen ni. rasanya contoh yg sgt baik untuk bot dan semua ahli-ahli yg lain. inilah sebab kita di kapasitor ni

    tambahan di beberapa plot dan dipenghujung cerpen begitu menyentuh hati. mmg agk kejam
    tp btl kata abg sham, kdg2 kita kena pentingkan diri

    bot tak puas baca ni mungkin ade kerana Zuriat 2? menambahkan konflik yg ade
  • 15) haaa...yang ni baru okay sket. kurangnya ada bahagian untuk Rahimah.

    yes,stuju dengan Bot..kalau boleh buatlah konflik Pak Penyu..hihi *suke bebeno konflik*
  • 16) even jue belum kawen tapi jue dapat rase camne perasaan ina masa dia izinkan ikbal kawen...
    perempuan ni kebanyakan mulut ckp lain tp ati ckp lain..
    contoh, mulut izin laki dia kawen tp ati hanye tuhan je yg tau betape sakitnye...
    jue pn sokong bot untuk pak penyu wujudkn zuriat 2...eheheh
  • 17) nice ni..klu sy jadi rahimah tu..xtaulah..
  • 18) hahaha..taktau nak komen camana.

    apa pun..best pak penyu. cuma..sian kat rahimah. hehee
  • 19) Saya tak pandai nak komen, tapi ikut hati saya dari permintaan Upenyu untuk tambah-tambah idea, saya rasa, kena kejamkan lagilah seksaan Rahimah, mati kena langgar dengan Iqbal ker, kena tampar kepala dengan Ina ker apa ker.

    hehehe.

    p.s. soalan personal: cerpen ni dari pengalaman ker?

Cerpen-cerpen lain nukilan Upenyu

Read all stories by Upenyu