Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Diana
“Diana, Abang Aqif kirim salam.” Kata Jannah sambil tersenyum. Diana mengerut kening seketika. Namun cepat-cepat diajukan soalan pula.
“Abang Aqif? Awak kenal dia ke?” Jannah mengangguk cepat. Senyum pada ulas bibirnya masih belum lekang dari tadi. Matanya begitu bercahaya, seperti mahu berkongsi gosip sensasi dan terkini.
“Mana boleh tak kenal, Abang Aqif tu Ketua Biro Penerbitan. Saya ni kan anak buah dia. Dah lupa?” Diana mengangguk. Hampir dia terlupa tentang itu. Tapi tindakan Abang Aqif berkirim salam melalui Jannah sungguh tidak masuk akal. Lagi pula hubungan dia sendiri dengan Jannah bukanlah sebaik mana. Bertegur sapa pun cuma jika berkaitan dengan tugasan, inikan pula mahu berkongsi cerita dalam selimut? Bolayan!
“Tak nak jawab ke salam dia? Tak nak sampaikan apa-apa ke?” becok macam mulut murai pulak minah ni. Diana jadi tak senang duduk. Kipas angin yang berputar terasa perlahan, dia bangun menghampiri suis berdekatan pintu depan.
“Tak payah kot Jannah. Tak sesuai…” jawab Diana acuh tak acuh.
“Kenapa tak sesuai pulak? Abang Aqif tu ambil berat tau pasal awak. Dia siap suruh saya tengok-tengokkan awak lagi. Romantik!” cerita Jannah lanjut. Dari nada suaranya, Diana yakin Jannah bercerita dengan perasaan yang sangat teruja. Diana terkedu mendengar cerita lanjut versi Jannah. Telinganya terus-terusan menadah segala puji-pujian buat lelaki bernama Aqif itu.
*****
Mesyuarat malam ini habis agak lewat daripada biasa. Diana penasaran di atas kerusi sambil matanya tak lekang dari memandang muka jam yang tergantung tinggi di dinding bilik mesyuarat. Diana jadi tak sedap hati, dua tiga orang senior asyik memandangnya sedari tadi dengan pandangan yang susah untuk ditafsirkan.
Aqif duduk satu garis di belakang tempat duduknya. Kalau nak dikira garis sudut, setiap gerak geri Diana seratus peratus mampu dilihat. Diana semakin resah. Walaupun tanpa memandang ke belakang, dia dapat rasakan dirinya diperhatikan tanpa lepas.
“Diana? Kenapa macam tak senang duduk je hari ni?” soalan dari Mira dibalas dengan senyuman. Sebenarnya Diana cuba menutup rasa gugup yang melanda perasaannya ketika itu. Pandangan tak lepas itu memaksa Diana bersuara akhirnya.
“Maaflah Kak Mira, saya rasa sejuk sangat ni. Boleh tak kalau kita percepatkan mesyuarat kita malam ni? Saya rasa macam tak berapa sihatlah.” Ucap Diana perlahan, namun kerana suasana yang senyap jawapannya jelas kedengaran.
Tiba-tiba Aqif bersuara, “Dahlah Mira, akupun rasa dah lama sangat ni. Kita berhenti sini dulu. Lagipun banyak lagi kerja yang kita kena buat susulan sebelum diperbincangkan. Lama sangat mesyuaratnya tapi kalau kerja tak jalanpun tak guna juga kan?” soal Aqif kembali.
“Okehlah kalau macam tu, kita tutup dulu mesyuarat kita malam ni. Insya Allah, mesyuarat seterusnya akan diberitahu kemudian. Setuju semua?” ucap Mira. Semua setuju dan mesyuarat diakhiri dengan Tasbih Kafarah dan Surahtul Asr.
Diana cepat-cepat mahu keluar dari bilik mesyuarat, namun ketika dia berasa di depan muka pintu namanya dipanggil lantang. Diana berhenti dan menoleh memandang wajah si pemanggil tersebut. Dengan bersahaja Diana didekati.
“Jom minum dulu, Abang belanja.” Ajakan Aqif merimaskan Diana. Dalam hati dia menyumpah seranah lelaki itu. Agaknya, makhluk Allah yang satu ni tak faham ke makna privasi? Diana menjeling tajam tanpa menjawab ajakan tersebut.
“Belanja Diana je ke Aqif? Kami ni?” usikan dari Haneefah menggamit senyum dua tiga orang senior yang masih berada dalam bilik mesyuarat tersebut. Abang Aqif sekadar senyum kambing tanpa menjawab usikan tersebut.
“Jomlah Diana, lagipun akak ada nak minta tolong Diana sikit. Kita bincang masa makan sekejap lagi, boleh?” Sampuk Mira pula. Diana rasa mahu terjelepuk di situ juga saat itu. Kenapalah tak ada siapa yang faham perasaan dia sekarang ni? Dia nak lari dari Aqif, tapi kenapa ada je alasan diorang nak beri ruang pada Aqif tu sentiasa dengan dia? Dia merengus dalam diam. Hatinya geram mengenangkan situasi yang tidak disenanginya itu.
*****
“Diana, awak ni memang suka bagi harapan pada orangkan?” Soalan dari Ismail benar-benar mencarik hati dan perasaannya. Sejak bila pulak dia berperangai begitu? Diana membulatkan matanya luas-luas, terkejut bercampur tidak faham dengan ucapan Ismail.
“Apa maksud awak ni? Saya bagi harapan pada siapa?” soal Diana kebingungan.
“Saya!” Ismail cuba mencapai tangan Diana namun cepat pula Diana menyilangkan tangannya ke belakang. Dia bukan anak patung yang sesenang hati boleh dipegang sana-sini.
Bilik mesyuarat sepi. Semua mata memandang Diana dan Ismail yang duduk pada hujung sisi bilik itu. Ledakan ketawa Aqif kemudiannya menarik perhatian setiap pasang mata yang berada dalam bilik mesyuarat tersebut.
“Kau tak payah mengarutlah Ismail. Kalau kau cakap pasal perempuan lain, aku percaya. Tapi terang-terang kau sebut Dianakan? Tak payah perasan sangatlah Ismail. Lupakan perasaan kau tu!” lantang suara Aqif. Diana terus membisu. Dalam keadaan sekarang, dia tergamam sendiri langsung terlupa terus apa yang harus dilakukan. Hatta, dia terus terpaku di situ tidak selangkahpun tergerak hati mahu keluar dari bilik itu.
“Kau apa hal Aqif? Ni hal aku dengan Diana, yang kau susah-susah menyampuk apa hal?” soal Ismail bengis.
“Hal Diana, hal aku juga!”
“Tak guna!” lalu tak semena-mena Ismail meluru ke arah Aqif lalu sebuah tumbukan hinggap tepat pada ulu hati lelaki itu. Aqif membalas serangan tersebut. Sebuah sepakan pula mengena pada rusuk kiri Ismail. Kedua-dua mereka terjatuh.
Beberapa orang senior cepat-cepat meleraikan pergaduhan tersebut. Mira pula mengambil langkah mengakhiri mesyuarat pada hari itu. Pada yang tidak berkenaan disuruh pulang. Akhirnya tinggal beberapa orang sahaja di situ.
Diana terus-terusan membisu selepas itu. Malam itu, Diana tidur di bilik Mira menangisi sehingga pagi insiden yang langsung tak pernah terlintas di fikirannya akan terjadi.
*****
Diana sendirian di dalam bilik. Hujung-hujung minggu begitu memang kebiasaannya teman sebiliknya rajin keluar. Kalau tak keluar mungkin pulang ke rumah. Maklumlah rumah mereka semuanya berdekatan, sekitar Shah Alam hingga ke Kajang sahaja. Tak jauh dari kawasan Petaling Jaya ini. Jika berbanding dirinya yang berasal dari Perak, sungguh berganda-ganda dekatnya jarak rumah mereka berbanding dirinya.
Diana kebosanan. Kipas yang berputar perlahan dipandang kosong. Saat itu fikirannya melayang pada pertemuannya dengan Aqif sebulan sebelum kejadian memalukan di bilik mesyuarat tempoh hari. Drama sebabak tempoh hari sungguh berbekas di hatinya.
Diana sendiri yang menghantar pesanan ringkas meminta untuk bertemu empat mata dengan Aqif. Sejurus terlihat kelibat lelaki itu, Diana terus menghampirinya. Salam bersambut dengan senyuman dan pandangan redup memandang dirinya.
“Abang, saya nak minta maaf ganggu masa abang sedikit.” Ucap Diana sekadar berbahasa. Aqif mengangguk tenang. “Saya nak tanya sesuatu pada abang ni. Harap abang dapat jawab secara jujur. Boleh?” sambung Diana lagi. Sekali lagi anggukan menjadi jawapan.
“Kenapa suruh Jannah intip semua gerak geri saya?” soal Diana tegas. Matanya tajam memandang Aqif. Pandangan mereka berlaga seketika.
“Abang minta maaf kalau buat Diana tak selesa.” Lembut ucapan itu menampar pendengarannya, namun Diana buat endah tak endah sahaja. “Abang, hurm… macam mana nak cakap ye? Abang sebenarnya tak sedia lagi nak cakap pada Diana, tapi sebab Diana dah tanya macam ni jadi abang rasa abang tak ada pilihan selain berterus-terang kan? Soal Aqif kepada Diana. Diana terus membatu, masih memandang tajam jejaka itu.
“Abang sebenarnya dah lama sukakan Diana, sejak kali pertama abang nampak Diana masa sesi temuduga untuk pemilihan Jawatankuasa Pelajar. Kredibiliti Diana yang menarik perhatian abang. Personaliti kemudiannya, lepas beberapa lama abang perhatikan Diana. Semua tentang Diana buat abang jadi gila dan ini kali pertama abang jadi macam ni bila berhadapan dengan seorang perempuan.” Ucap Aqif berhati-hati. Namun Diana pula tersenyum sinis.
“Oh cakap dengan semua orang abang berani pulak? Tahu tak saya malu bila dengar orang bercerita itu ini, sedangkan saya tak tahu apa-apa pun tentang perasaan abang tu. Merimaskan! Setiap hari kena perli, kena usik sedangkan saya langsung tak faham. Abang pernah fikir perasaan saya?”
“Diana, abang betul-betul minta maaf. Tapi abang harap sangat Diana dapat terima perasaan abang.” Telus ucapan tersebut namun Diana sudah panas hati menahan perasaan selama ini. Ucapan dari Aqif langsung tak terbekas di hatinya.
“Apa yang abang suka sangat pasal saya? Apapun Abang tak tahu!” tegas Diana.
“Peribadi Diana. Kasar, tapi sebenarnya hati Diana lembut. Diana nampak sangat keanak-anakkan tapi cara fikir Diana sangat matang. Diana unik dengan peribadi yang… entah abang tak tahu nak terangkan.”
Diana terkedu. Perwatakannya memang pelik sebegitu-dua personaliti. Mungkin.
“Diana minta maaf, Diana tak dapat nak terima perasaan tu. Kita akan terus bekerjasama lepas ni, jadi saya tak nak terikat dengan sebarang perasaan. Maafkan saya.” Ucap Diana lalu berlalu pergi meninggalkan Aqif terkedu di situ.
*****
Diana rasa tak sedap hati teringatkan kata-kata Mira semalam. Kata Mira, sekarang Aqif dah bukan macam dulu. Hilang semangat dan kelihatan sangat serabut. Lelaki itu semakin kurus dan sudah mula berjambang. Kata Mira sejak adegan drama sebabak hari itu, Aqif semakin parah. Dia macam sudah melepaskan semua perkara sementara Ismail langsung melarikan diri darinya. Diana membuang keluh berat mengenangkan kedua-dua lelaki itu.
Aqif memang seorang yang sangat mengambil kira perasaannya. Sekalipun tidak pernah menggesa dia menilai semula permintaannya namun harapan itu tak pernah hilang. Ismail pula, sebelum ini adalah temannya yang paling erat. Bila mengenangkan semuanya, Diana jadi sedih. Bersalahkah dia?
“Diana kena tolong Abang Aqif. Pelajaran dia dah semakin merosot, asyik termenung je. Akak dah tak tahu nak buat apa lagi. Langsung dia tak nak dengar cakap kami.” Kata Mira.
“Saya nak buat apa kak? Saya tak biasa ini semua.” Ucap Diana serba-salah.
“Ini kali pertama Abang Aqif jadi macam ni. Memang awaklah cinta pertama dia, mungkin sebab tu tekanan yang dia rasa agak mendalam. Akak minta sangat supaya awak dapat tolong dia. Pulihkan semangat dia. Tolong ya Diana?” Diana hanya diam namun jauh di sudut hatinya, dia tahu bahawa semua ini berpunca dari dirinya. Dia mesti lakukan sesuatu.
*****
Aqif memandang cebisan kertas itu. Rasa tak percaya melihat tulisan tangan itu. Dia sangat mengenali tulisan itu- Diana.Dunia Aqif bagaikan ceria semula. Kehadiran Diana bagaikan menyedarkan dia yang sebelum ini bagaikan terpukau dalam kekecewaan.
“Hei raksasa! Jambang tu tak sesuai dengan wajah tidak kacak kamu. Apa kata shave dan berpakaian kemas? Jumpa saya di cafeteria, jam satu tengah hari ini.”
Aqif bergegas menyiapkan diri. Jambang dicukur kemas, pakaiannya diseterika setiap satu. Lama dia berdiri menghadap cermin bagi memastikan kesempurnaan. Minyak wangi jenama Hugo Boss disemburkan ke badan menambah harum aroma dirinya.
Sesampainya di café, Diana sudah sedia menanti dengan wajah yang tersenyum. Lega hatinya. Aqif mengambil tempat di hadapan Diana.
“Lama tak nampak Abang Aqif. Dah makan?”soal Diana. Aqif menggeleng sambil tersenyum senang diberi perhatian begitu. Tengah hari itu mereka makan bersama.
*****
Sejadah dilipat lalu disangkut elok. Songkok diletakkan atas meja. Aqif bersyukur, sejak Diana kembali semula dalam hidupnya dia semakin belajar erti redha. Gadis itu memang istimewa, malah Aqif sangat yakin dengan kata hatinya. Aqif yakin tentang perasaannya.
Dulu dia sering mengabaikan kewajipan lima waktu, membaca Al-Quran dan berzikir apatah lagi. Mungkin dia pernah lupa dulu namun sejak dua menjak ini, hatinya berasa sungguh tenang. Diana sentiasa ada di sisinya mengingatkan tentang tauhid. Aqif teringat pesan Diana ketika mereka sama-sama duduk di tepi padang bola sepak, ketika menonton sesi latihan Rabu minggu lalu.
“Abang Aqif ni suka buat orang lain risau tau.” Kata Diana sambil memandang Aqif, hatinya sangat-sangat berharap agar apa yang ingin disampaikan pada Aqif dapat diterima dengan tenang.
“Maksud Diana, siapa?” soal Aqif kembali.
“Semua oranglah. Kenapa abang tiba-tiba berubah? Perubahan hormon ke hari tu?” soal Diana berjenaka.
“Diana ni ada-ada je. Abang cuma rasa serabut je masa tu. Entahlah, abang rasa macam kosong di sini,” lalu tangannya dihalakan ke arah dadanya.
“Itulah silap abang. Sepatutnya, bila sampai tahap macam tu abang kena sentiasa ingat bahawa kita ada Tuhan. Allah itu Maha Pengasih, bang.” Kata Diana.
“Abang tahu abang silap Diana. Mungkin silap abang sebab tak pernah ambil berat tentang ilmu agama.”
“Tak apalah, asalkan abang dah sedar. Abang nak tips dari Diana tak?” soal Diana manja. Aqif mengerdipkan matanya menandakan mahu terus mendengar tips tersebut. “Bila abang rasa susah hati, apa kata abang ambil tafsir Al-Quran. Lepas tu, abang buka je mana-mana mukasurat. Abang baca muka surat yang abang buka tadi. Cuba fahamkan. Insya Allah, masalah abang akan selesai. Allah tu tuan segala ilmu, Dia tahu susah kita. Al-quran tu pulak bermukjizat. Percayalah akan ada jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang abang cari tu.”
“InsyaAllah, terima kasih Diana.” Diana tersenyum senang. Tidak lama selepas itu, mereka beriringan pulang ke kolej bila jingga senja menapak hujung langit.
*****
Aqif mahu mencuba nasib sekali lagi. Sejak akhir-akhir ini, Diana sudah semakin rapat dengan dirinya. Dia yakin Diana semakin faham rasa hatinya yang tulus mencintai. Aqif cuba mencari kata-kata terbaik untuk menyunting cinta gadis itu. Sejak seminggu kebelakangan ini, bermacam-macam cara sudah berlegar di fikirannya.
Pada mulanya, Aqif merancang mahu membeli sejambak bunga seperti yang selalu dilakukan dalam televisyen. Namun hasrat itu terbatal dengan sendirinya bila mengenangkan poket yang semakin kempis.
Akhirnya suatu petang, seperti kebiasaannya ketika sedang minum petang Aqif menyatakan hasratnya sekali lagi.
“Diana, abang nak cakap sesuatu…” kata Aqif penuh ketenangan.
“Apa dia bang? Cakap je lah. Tak kan dengan Diana pun nak malu kot?” kata Diana sambil ketawa. Aqif menelan liur memandang wajah Diana. Wajah itulah yang sentiasa menemani tidurnya selama ini.
“Abang harap Diana dapat menilai semula perasaan abang.” Sekali lafaz, ayat itu meluncur laju dari bibirnya Aqif melepas lega. Ucapan itu diucapnya penuh yakin. Meskipun masih belum mendapat sebarang jawapan, namun dia redha dengan sebarang jawapan yang bakal diterimanya.
Diana terkedu. Dia langsung tidak menyangka ayat tersebut akan dilafazkan sekali lagi. Diana melepas keluh perlahan. “Abang percaya pada jodoh?” soal Diana kembali menyembunyikan getar di dadanya.
Aqif mengangguk perlahan. Mukanya langsung tidak berani diangkat. Hatinya berdebar kencang. Setiap butir yang keluar dari ulas bibir gadis di hadapannya itu bagaikan menunggu hukuman gantung sampai mati.
“Abang, saya mohon jutaan pengertian. Saya masih belum terfikirkan tentang cinta. Pada saya, ada banyak lagi perkara yang saya perlu dahulukan sebelum cinta. Sekali lagi, saya menolak niat baik abang. Selagi cita-cita saya tak tercapai, saya tidak akan berpaling menjemput cinta. Sekiranya ada jodoh antara kita, kita akan bersama. Tapi kalau lepas ni ada yang menarik perhatian abang, jangan ragu-ragu untuk mencuba. Kita saling mendoakan kebahagian masing-masing, boleh?” ucap Diana selembut mungkin, penuh pengharapan.
Aqif mengangguk lemah. Namun kali ini ada senyuman mengiringi langkah Diana. Dia redha kali ini.
“Diana, semoga kebahagiaan mengiringi tiap langkahmu. Jika kau adalah jodohku, akan aku tunggu dirimu penuh sabar.” Detik Aqif dalam hati.
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen CintaCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) menarik!
- putri_alya
- 15 years ago
-
3) salam mesra dayya.
entah mengapa saya rasa ada nada ketergesaan di dalam cerita ini. saya seakan sedang melompat dari satu plot ke plot yang lain. seperti terlihat perasaan geram yang tidak terluahkan. hehehe...
apapun, konsep cerita yang menarik dan wajar diambil teladan.- ridhrohzai
- 15 years ago
-
4) utk org standard dayya, plot dia agak lari tempo
build up ke part2 dramatik sedikit mengejut
hehe mesej dia menarik. mungkin boleh dikuatkan lagi isinya utk beri pedoman kepada mereka yg seperti aqib.
nice one dayya!- cahatomic
- 15 years ago
-
5) dear,patut ada penerangan pasal how it starts kot. i mean..macam mana ismail bole start gaduh dgn aqif. huhu
nice one!
I wish I ada hati mahu menulis lagi..hehe..manakah engkau wahai hati? hoho- syud
- 15 years ago
-
6) thanx all komen. huhuhu, tak sempat nak reply balik... huhuhu
btw, segala nasihat tu saya catit... terima kasih- dayya
- 15 years ago
-
7) setuju dgn komen2 di atas..hehe
- paktam85
- 15 years ago
-
8) saya pun setuju dengan komen di atas..saya tahu dayya boleh buat lebih baik dr nie
- rain
- 15 years ago