Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Lasman Singgah ke Kedai di Lorong Yang Tersisih Sedikit Daripada Jalan

 

                Lasman menolak pintu kaca dan udara dalam kedai menyambutnya mesra. Luar, matahari pukul 2 petang begitu menghukum, sesak dengan trafik manusia sepanjang kaki lima. Dia tidak berniat membelanjakan wang simpanan hariannya pada hari itu, di kedai yang luarnya tidak berhias, tiada papan nama, tanda atau promosi, di lorong yang tersisih sedikit daripada jalan utama.

                Pekedai lewat 30-an bangkit daripada belakang mejanya tegak menghadap Lasman dengan tangannya saling menggenggam pada paras dada kemudian membongkok beberapa darjah, kepalanya tergerak dalam anggukan kecil. Dengan ekspresi yang kosong dia menanya Lasman, Ada apap-apa yang boleh saya bantu encik.

                Lasman tersegan dengan kehadirannya dalam kedai, rasa lebih malu jika Pekedai tahu bahawa dia hanya menumpang keselesaan udara berhawa.

                “Saya tengok-tengok saja,” balas Lasman pendek, wajahnya mula tersirat sedikit merah dan panas-panas. Hakikat tersebut tidak terlepas daripada pemerhatian pekedai yang cukup tahu Lasman hanyalah pelarian daripada bahang petang bulan Jun, bila musim panas memuncak. Pekedai mengangguk dan kembali duduk atas kerusi ofis di belakang meja kelabu MDF.

                Cuma ada tiga buah rak lemari, dipenuhi bebola kaca daripada rak paling atas hingga terkebawah, disusun sejajar dalam satu garis paralel dari hujung ke hujung tanpa noda habuk mencemari. Lasman mengambil satu bebola kaca daripada raknya dan mengamatinya betul-betul. Bola kaca yang Lasman pegan dalamnya ada cecair merah turun naik dalam satu larutan jernih lutsinar. Begitu juga bebola kaca seterusnya, dua warna: kuning dan hijau saling berputar dalam bulatan, turun naik tanpa bercampur warna seperti dua ekor ikan yang saling mengejar.

                Dan Lasman lihat, bebola kaca selepasnya lebih menarik, lebih berwarna, lebih tenaga: ada yang mengandungi salji, ada yang mengandungi hujan renyai, laut dan horizon, musim bunga, cinta, kegelapan, putih cahaya dan seterusnya. Dia teringat, dia ada menjanjikan pada adiknya atau seseorang, sebiah hadiah istimewa sempena hari lahir, dan bebola kaca itu cukup sempurna untuk dihadiahkan.

                Sebelum dia membayangkan wajah mereka, kegembiraan memancar-mancar, sebuah senyuman penuh, mana kau dapat benda ini, cantik sangat, dan segala ucapan penghargaan mereka, Lasman tersedar bahawa dia tidak pun mengetahui apakah sebenarnya bebola kaca yang terpamer di rak-rak itu. Lasman memulangkan bola kaca tadi ke tempatnya dan menoleh untuk menanya Pekedai.  Pekedai tampak sedia dengan soalan Lasman, bangun tanpa berkata sepatah masih memakai wajah yang sama, datang ke sisi Lasman.

                Dia mengambil semula bola kaca yang diletakkan Lasman, mengelapnya dengan sehelai kain kapas  dan memastikan bola kaca tersebut sejajar dengan bola kaca yang lain. Baru selepas itu dia memecahkan kesunyian dalam kedai dan kecanggungan Lasman yang dari tadi memerhatikan Pekedai meletakkan semula bola kaca pada tempatnya dengan sepatah: “Azam.”

                Lasman ingin memastikan dia benar-benar mendengar apa yang disebut Pekedai, keningnya terangkat, dahinya berkedut sambil mulutnya tercongeh mengeluarkan bunyi : “Aaaa??” yang mudah difahami sebagai memohon pengulangan untuk kepastian atau dalam sesetengah keadaan lebih kepada meluahkan kehairanan. Dan, Lasman sedang kehairanan kerana dia pasti telinganya mampu menangkap butir perkataan dengan jelas, walaupun gelak kecil dan bisik rahsia rakan perempuannya di belakang kelas.

                Kata Pekedai, Apa yang encik lihat di sini ialah semangat, azam yang diekstrak dan diabadikan  dalam bebola kaca; contohnya yang baru sahaja dipegang encik tadi, merah: keberanian , kekentalan, semangat membara, usaha; bersama warna jernih: kejelasan berfikir, rasional, penaakulan hipotikal; owh, encik sememangnya ada mata yang bijak memilih barang.

                “Bagaimana pula semangat dan azam ni diekstrak?” tanya Lasman mencantas percakapan Pekedai yang menuturkan kata-katanya dengan kekosongan perasaan yang sama, yang bila dipotong berdecit seketika kejengkelan sebelum meneruskan degan jawapannya.

                “Ianya komples. Rumit.”

                Lasman melihat semua bebola kaca yang ada di tiga-tiga rak lemari ditemani Pekedai di sisinya. Dia meniliti setiap bola kaca yang ada dengan mata penilaian seorang ibu memilih ikan di pasar basah. Sesekali, Pekedai akan menyertakan penerangannya dan Lasman akan membalasnya dengan anggukan tidak acuh. Kemudian Lasman melihat-lihat kali kedua semua bebola kaca yang ada, Pekedai kembali ke kerusi ofisnya dan menghirup baki teh yang tinggal, membiarkan Lasman dalam tinjauannya.

                Beberapa minit berlalu, Lasman datang ke meja Pekedai meletakkan dua biji bola kaca. Lasman menanyakan berapakah harganya. Terperanjat dengan harganya yang rendah berbanding kuasa ketakjubannya yang telah memukau Lasman, dia kembali semula ke rak lemari, mengambil lagi tiga biji bola kaca termasuk yang dipegangnnya awal tadi.

                Pekedai tunduk ke bawah meja dan mengeluarkan dua naskah surat khabar lama, membalikkan surat khabar itu, menyelak sekilas muka suratnya memastikan semuanya sudah dibaca atau tiada artikel yang menarik minatnya yang lupa dikerat. Hanya selepas itu dia mula membalut satu-satu bola kaca dengan helaian surat khabar secara cermat dan tak tergesa. Lasman perhatikan tangannya bekerja. Dalam hati Lasman teruja untuk membawa pulang bebola kaca tersebut.

                Jam pukul tiga, sejam Lasman menghabiskan masa di situ. Bajunya tadi lenjun peluh sudah kering. Matahari sudah lebih condong, dia akan pulang berjalan di bawah lindungan bayang-bayang bangunan sekeliling.

                Lasman melangkah keluar kedai setelah Pekedai mengucapkan terima kasih, dengan lima azam baru. Dua daripadanya diberi kepada adiknya dan seorang yang sudah dijanjikan akan dihadiahi sesuatu istimewa. Bakinya tiga lagi, Lasman letakkan di penjuru mejanya sekali dengan foto familinya.

                Kemudian apabila Lasman rasakan mejanya terlampau kecah dan sesak degan barang-barang, Lasman letakkan tiga azam di rak lemari bersama koleksi patung aksi megaman. Tiap kali sebeum tidur dia akan memandang tiga biji bola kaca azam, sama seperti ketika tiga biji bola kaca azam tersebut diletakkan di penjuru meja.

                Pintu kaca kedai di lorong yang tersisih sedikit daripada jalan utama ditolak lagi menjelang awal musim sejuk. Seorang remaja perempuan membawa satu kotak, dihempaskan atas meja Pekedai, nafasnya pendek kelelahan, berkata: “Lima.”

                “Hati-hati. Mana awak dapat semua ni?”

                “Pasar barang terpakai.”

                Sesudah remaja perempuan itu pergi, Pekedai mengeluarkan lima bij bola kaca daripada kotak dihadapannya, mengelap satu-satu dengan cermat dan menyusun mereka di ruang rongak antara bebola kaca yang lain. Semuanya diletakkan sejajar. Dan bila Pekedai meletakkan bola kaca mengandungi cecair merah dalam larutan jernih, dia melepaskan keluh yang dalam. “ Setiap kali, semuanya kembali menjadi barang lama.”

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) ouh ini menarik...
    azam perlu diperbaharui!
  • 2) wow! ada maksud yg mendalam...
  • 3) sgt misteri.. ayat yg digunakn simple dan penceritaan menarik. aku baca smpai habis. dan...adakah typos dalam cerpen ini disengajakan? nice
  • 4) ada falsafahnya. aku suka dengan ending!
    ejaan mungkin terlepas pandang. hehe.

  • 5) idea yang sangat baik. menggetarkan!
  • 6) tersirat dalam tersurat. saya suka signifikasi yang ditonjolkan...

  • (Penulis)
    7) tak perasan ada typo.

    terima kasih sudi menilai.
  • 8) pekedai yang ada falsafah.
    petaling street tiada nilai-nilai sedemikian.
    "lu mau bili ka tamau?"
  • 9) bercerita secara detail
  • 10) superb..like this kind of story..5 star!

Cerpen-cerpen lain nukilan kpalakotak

Read all stories by kpalakotak