Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Bunga Api Ogos 2157
- 5
- acsonrobin
- 14 years ago
- 3,828
- FREE
Masih wujudkah pejuang kemerdekaan pada zaman moden ini? Bukankah negara telah lama mengecapi kemerdekaan? Jadi, mengapa perlu wujudnya pejuang kemerdekaan tatkala negara berada di dalam keadaan yang aman damai? Persepsi realiti rakyat Malaysia yang sangat lama menikmati kemerdekaan: “Merdeka” dalam fikiran mereka yang selama ini diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka hanya membawa maksud “pembebasan diri daripada cengkaman penjajah”. “Pejuang kemerdekaan” dalam fikiran mereka selama ini hanyalah satu istilah yang ringkas bagi “pembela daripada cengkaman penjajah”. Apabila tiada lagi penjajah, apabila kemerdekaan berjaya diperolehi, isu mengenai pejuang kemerdekaan hanya dapat bertahan untuk seratus tahun. Selepas seratus tahun kemerdekaan negara, isu pejuang kemerdekaan telah menjadi satu isu yang sudah lapuk dan dimakan dek zaman, ibarat kayu yang dimakan anai-anai. Bayangkan betapa lekanya rakyat Malaysia dengan keamanan yang telah dikecapi selama dua ratus tahun selepas negara mencapai kemerdekaannya. Pada tahun 2157, Malaysia memang begitu.
Namaku Sudir. Berumur tiga puluh tahun dan masih belum mendirikan rumah tangga. Aku tinggal di Bandaraya Putrajaya, iaitu bandaraya Wilayah Persekutuan yang ketiga selepas Bandaraya Kuala Lumpur dan Bandaraya Labuan. Diriku kini sedang menyambung pengajian di Univesiti Terbuka Malaysia dalam jurusan Pengajian Sejarah Holistik untuk peringkat Ijazah Sarjana. Aku mesti menghasilkan tesis yang terbaik demi mencapai impian untuk menjadi ahli sejarah peringkat tinggi pada masa hadapan. Resam menghasilkan suatu tesis - bukan mudah untuk memikirkan dan mengenalpasti tajuk yang sesuai. Namun begitu, kali ini aku dapati ianya tidak begitu sukar, mungkin disebabkan oleh bulan kemerdekaan yang akan menyusul tidak lama lagi. Tajuknya? PEJUANG KEMERDEKAAN.
Beberapa minggu yang lalu, aku telah berkenalan dengan seorang professor ‘gila’. Dia merupakan bekas saintis di sebuah institut penyelidikan yang terkemuka. Usianya telah mencecah sembilan puluh tahun dan telah bersara. Secara kebetulan, aku telah menjumpainya di hadapan rumahku dengan keadaannya yang tidak terurus. Aku membawanya masuk ke dalam rumah dan memberinya pakaian serta makanan. Pada waktu yang sesuai, aku bertanya tentang dirinya. Perkara pertama yang diberitahu ialah namanya. Mengikut kata-katanya, dia dikenali sebagai ‘Prof. Pahid’. Prof. Pahid telah disisihkan oleh rakan-rakan yang seangkatan dengannya. Kemudian, bantuan yang biasa dihulurkan kepadanya untuk membuat kajian telah ditarik balik oleh pihak institut. Semuanya disebabkan oleh kajian yang sedang dilakukan olehnya. Mengapa kukatakan bahawa dia ialah seorang professor ‘gila’? Ini disebabkan oleh perkara yang telah dilakukannya sejak kebelakangan ini.
“Professor! Hari ini ada perkara yang perlu kita bincangkan!” jeritku sambil merempuh masuk bilik kajian Prof. Pahid.
“Bincang? Aku kira sudah masuk empat puluh dua kali kau mengucapkan perkataan ‘bincang’ sejak dua minggu yang lalu. Tak jemu ya?” balas Prof. Pahid dengan selamba.
“Ya, selagi Prof tidak memberi penjelasan mengenai empat puluh dua kes yang dilaporkan dalam akhbar ini, selagi itu perkataan ‘bincang’ tidak akan lekang dari mulut ini!”
Prof. Pahid membetulkan kaca matanya. Kemudian, dia membelek suratkhabar yang mengandungi laporan yang dikatakan oleh Sued. HARI KE-14 PENCEROBOHAN KE ATAS 42 TEMPAT MENYIMPAN BAHAN KIMIA. Begitulah tajuk berita itu. Prof. Pahid mengalihkan pandangannya kembali kepada Sudir, yang sedang menanti penjelasan daripadanya.
“Sudir, aku rasa aku tak perlu jelaskan lagi perkara ini. Aku melakukan semua ini kerana terpaksa. Semua ini demi kajian yang sedang kulakukan.”
“Terpaksa? Sehingga perlu menceroboh tiga tempat dalam sehari? Prof, ini kerja orang gila. Orang gila boleh buat kajian dengan baik ke kalau begini caranya?”
“Sudir, kadangkala aku kecewa dengan sikap kau. Engkau ini sama sahaja seperti orang lain yang menganggap aku ini seorang yang gila. Engkau tak kepingin pun untuk memahami tujuanku yang suci ini. Aku bergadai nyawa demi mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Rakan-rakanku dan pihak institut tidak lagi memberi bantuan mahupun sokongan. Adakah telah sampai giliran kau pula menjadi seperti mereka?”
“Aduhai Prof, tolonglah jangan cakap macam tu! Terasa diri ini macam orang jahat. Bukan apa, saya cuma risaukan cara Prof berkerja. Bahaya! Prof dah tua, tapi masih ingin membuat kajian yang belum menjamin kebaikan atau faedah.”
“Sudahlah Sudir, aku faham. Aku ini orang tua. Kau orang muda. Setakat mana adanya keserasian? Biarlah aku pergi membawa diri dengan kajianku ini. Terima kasih atas segala pertolongan yang kau beri selama ini.” Prof. Pahid mengakhiri perbualan sambil bersedia untuk mengemaskan barang-barangnya.
Aku tercengang. Aku bingung. Aku melihat sahaja pemergian Prof. Pahid bersama barang-barang kajiannya. Untuk beberapa ketika, timbul satu penyesalan dalam diriku. Oh Sudir, bodohnya engkau ini! Tidakkah engkau sedar betapa mudahnya orang tua berkecil hati? Tengok, apa sudah jadi? Siapa lagi yang akan mengambil peduli hidup orang tua itu? Kalau ada perkara yang terjadi pada Prof. Pahid, siapa yang perlu bertanggungjawab? Tentunya engkau, Sudir!
Semenjak hari itu, aku menjalani kehidupan seperti sebelum kedatangan Dr. Pahid, yakni kehidupan seorang siswa yang masih memikirkan tajuk tesis yang sesuai. Memang merupakan satu kerugian dengan pemergian orang lama seperti Prof. Pahid. Sebagai orang yang telah hidup selama sembilan puluh tahun, pasti pengetahuan sejarahnya lebih bagus dan tepat berbanding aku yang sekadar melepasi ijazah sarjana muda dalam pengajian sejarah kurang daripada sepuluh tahun. Kalau mahu diimbas kembali sejarah kegemilangan Malaysia yang telah berabad lamanya, boleh dikatakan ingat-ingat lupa sahaja. Oh, ya! Sebut sahaja mengenai ingatan, teringat pula pada kajian Prof. Pahid. Prof pernah menyebut beberapa perkara tentang kajiannya kepadaku dahulu. Antaranya ialah berkaitan dengan bunga api. Bunga api yang dimaksudkan ialah bunga api yang sering digunakan oleh kerajaan dalam setiap perayaan yang disambut oleh seluruh negara. Kononnya bunga api yang akan direka oleh Prof dapat mengembalikan ingatan masyarakat Malaysia terhadap perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan pada dua ratus tahun yang lampau. Bagaimanakah cara Prof merealisasikannya? Itu masih belum dapat aku ketahui. Cuma yang dapat dipastikan, bahan kimia yang diperolehi Prof sememangnya bahan yang sesuai untuk membuat apa jua mekanisme letupan.
Seminggu sebelum 31 Ogos 2157, aku menerima panggilan telefon. Panggilan telefon daripada Prof. Pahid. Sudah habis agaknya rajuk orang tua ini. Mungkin ada perkara yang penting hendak diperkatakan olehnya?
“Sudir, boleh ambil sedikit masa untuk kita bercakap buat seketika?” tanya Prof. Pahid.
“Sudir, datukku pernah memberitahu suatu perkara yang sukar untuk kufahami. Begini katanya: Manusia... Bilakah mereka akan sakit? Adakah ketika virus dan bakteria durjana menyerang sistem imunisasi mereka? Adakah ketika mereka mengalami sebarang keracunan yang tidak disangka? Bukan. Manusia akan sakit apabila mereka diabaikan!”
“Diabaikan? Apakah maksudnya?” tanyaku.
“Pada mulanya, aku pun tidak faham. Setelah hidup selama sembilan puluh tahun, akhirnya aku telah memahami kata-kata datukku itu. Sudir, tidakkah kau perasan akan sesuatu? Negara ini sedang ‘sakit’ sekarang. ‘Sakit’ yang kukatakan ini adalah berkenaan dengan semangat kemerdekaan yang telah lama diabaikan oleh rakyat negara ini hatta pemimpinnya juga.” Prof. Pahid menerangkan teori yang didapatinya dengan yakin.
Aku merenung kembali perkara-perkara yang telah berlaku sepanjang kehidupanku. Teringat kembali pendapat orang ramai tentang pejuang kemerdekaan zaman moden. Teringat juga akan betapa fanatiknya rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun dengan iringan bunga api dan konsert artis-artis terkenal semata-mata tanpa menyedari tujuan menyambut Hari Kebangsaan yang sebenar. Menyambut Hari Kebangsaan dengan menyalakan bunga api yang besar merupakan suatu pembaziran dan nampak terikut-ikut dengan cara orang barat. Bukankah masyarakat sepatutnya bersama-sama membuat sedikit kenduri kesyukuran untuk meraikannya? Aku pun baru saja menyedarinya. Begitu rupanya ‘sakit’ negara ini. Prof. Pahid rupanya ingin mengubati negara ini dengan caranya yang tersendiri. Cuma, bagaimana? Bagaimana bunga api yang dikatakannya dapat ‘mengubati’ negara ini?
“Sudir, mulai hari ini kau tak perlu risau lagi tentang diriku. Aku telah habis menyelesaikan kajianku. Hanya masa yang akan menentukan kerja yang aku telah usahakan ini. Baiklah, jumpa lagi pada 31 Ogos, tepat jam 12 tengah malam.” Prof mengakhiri kata-katanya dan terus meletakkan gagang telefon.
Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Barangkali hanya aku sahaja yang mengharap kejutan Prof. Pahid. Suasana Dataran Putrajaya telah dibanjiri oleh segenap masyarakat di sekitar Bandaraya Putrajaya. Seperti tahun-tahun sebelumnya, orang ramai akan bersama-sama mengira saat ke pukul 12 tengah malam, pada setiap 31 Ogos. Kata-kata kebanyakan orang, tahun ini agak bermakna kerana ulangtahun kemerdekaan negara adalah yang ke-200, suatu jangka masa yang agak lama. Yakah? Aku rasa tiada apa-apa yang istimewa. Mungkin ‘acara seterusnya’ lebih bermakna!
Sepuluh saat saja lagi, bunga api akan dilepaskan. Ketika aku sedang asyik memerhatikan televisyen plasma bersaiz gergasi di Dataran Putrajaya, tiba-tiba keadaan sekeliling menjadi gelap-gelita. Kemudian, satu-satunya spotlight yang cukup besar di situ, dibuka menghala ke pentas dataran, yang juga bersebelahan dengan televisyen plasma gergasi. Seorang tua berdiri di situ.
“Salam sejahtera kepada seluruh masyarakat Bandaraya Putrajaya. Tidak, lebih tepat lagi kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita semua sudah cukup bertuah kerana mengecapi kemerdekaan, keamanan, dan kebebasan selama dua abad. Saya sudah mengecapinya selama sembilan puluh tahun. Anda semua juga telah mengecapi kemerdekaan dengan begitu lama, kan? Saya Prof. Pahid. Saya tahu anda semua pasti bingung, pasti terperanjat, dan pastinya sukar menerima keadaan yang secara tiba-tiba ini. Jangan risau, anda semua akan tahu sebentar lagi. Cuma, saya ingin menegaskan bahawa perjuangan saya selama ini adalah untuk menyembuhkan seluruh rakyat Malaysia yang sedang ‘sakit’ sekarang. ‘Sakit’ akibat pengabaian semangat kemerdekaan! Sekarang, terimalah Bunga Api 12 Tengah Malam saya ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-200!”
Sejurus kemudian, terpancarlah kilauan bunga api yang amat terang dan permai warnanya tatkala berada di langit malam yang gelap. Doktor, inikah kejutan yang dinanti-nantikan selama ini? Rupa-rupanya bukan sekadar itu sahaja! Daripada satu percikan bunga api yang besar, keluarlah pula percikan bunga api yang lebih kecil dan lebih cantik warnanya. Daripada satu warna ke satu warna yg lain. Kemudian, percikan bunga api tadi berpecah, menjunam jatuh ke arah hadirin yang berada di dataran dan terkena tepat pada kepala mereka!
Begitu juga dengan diriku yang telah terkena percikan Bunga Api 12 Malam yang berpecah warna kepada warna merah, biru, kuning dan putih. Aku rasakan bahawa percikan tersebut menjalar ke dalam kepalaku. Pandangan mataku bertukar-tukar. Pandangan mataku kini bukanlah di Dataran Putrajaya tetapi di tapak peperangan! Kemudian, aku lihat pula paparan yang berlainan. Paparan yang agak asing bagiku tetapi seperti sudah aku pelajari di universiti dahulu. Aku melihat orang memegang senapang dan berperang gerila. Aku melihat orang memegang sepanduk yang aku rasakan bukan ditulis dalam tulisan rumi. Aku juga melihat orang sedang bermesyuarat dan saling menandatangani sesuatu yang berupa perjanjian. Akhir sekali, aku melihat seorang tokoh mengangkat tangan dan melaungkan ‘MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!’ di hadapan ribuan rakyat jelata. Setiap kali muncul persoalan dalam diriku, paparan lain akan muncul untuk menjawabnya. Oh, Tuhan! Inikah petunjuk yang kau beri kepada hamba-Mu yang lemah ini? Oh, professor! Inikah perkara yang kau cuba lakukan untuk negara ini? Semuanya sudah terjawab sekarang.
Walaupun malam kemerdekaan telah lama berlalu, aku masih merasakan bahawa ianya seperti baru berlaku semalam. Sekarang, semuanya telah berubah. Pentadbiran, cara hidup, pendapat dan semangat rakyat Malaysia telah berubah menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Institusi pengetahuan seperti perpustakaan, pusat pengajian sejarah, dan Arkib Negara telah aktif kembali. Bunga Api 12 Tengah Malam yang dihasilkan oleh Prof. Pahid pastinya memberikan impak yang mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia. Keinsafan, kesedaran, dan kepahitan. Itu yang aku rasakan. Sayangnya, Prof. Pahid tidak lagi aku temui selepas itu. Tanggungjawab diriku terhadap sesi pembelajaran di universiti tetap tidak ku abaikan. Begitu juga dengan negara ini, tidak lagi mengabaikan semangat kemerdekaan. Tesis yang sedang aku hasilkan ini juga pasti dapat disiapkan dengan jayanya. Menyebut pasal tesis, rasa-rasanya aku telah terfikir satu isi baru yang cukup sesuai dengan tajuk “Pejuang Kemerdekaan”. Walaupun otakku ini telah sarat dengan sejarah lama, aku tetap ingat pada yang baru. Maksudnya, aku mungkin akan memasukkan satu tokoh yang baru ‘menyembuhkan’ negara ini dengan bunga apinya, yakni yang juga pernah dianggap gila oleh diriku sendiri. Bolehkah anda cuba meneka?
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen UmumCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) wow...best..teliti..ok nais..
- paktam85
- 14 years ago
-
2) sarat dengan semangat patriotisme. mantap isinya!
- ridhrohzai
- 14 years ago
-
3) FUH!
jarang-jarang ada karya begini baik di sini. saya suka ideanya. saya suka penamatnya!
nak lagi acsonrobin!- cahatomic
- 14 years ago
-
4) wahh kreatip kreatip!! i like!
- NJay
- 14 years ago
-
5) Terima kasih kepada semua yang telah membaca, menilai dan memberi komen untuk hasil karya saya yang ini. Saya telah menerima banyak pujian untuk cerita ini. Cerita ini sebenarnya merupakan hasil tulisan saya ketika berada di sekolah menengah dan apa yang anda baca di sini adalah hasil edit cerita asal tersebut yang sebelum ini mendapat kritikan kerana terdapat elemen lawak bodoh dalam penulisan saya pada waktu itu. Betul kata orang, kegagalan mengajar kita untuk menjadi lebih berjaya pada masa hadapan. Saya harap saya dapat menyiarkan hasil karya ini dengan lebih meluas sempena Hari Kemerdekaan. =)
- acsonrobin
- 14 years ago