Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Sinar Di Sebalik Kabus

 

        Hari ini hari terakhir aku di sini, menghayati panorama indah desa impian. Alangkah seronoknya kalau ini kampung keluargaku. Tetapi impian akan kekal impian…arwah Mak  Tok dan Tok Ayah dulu tidak tinggal di kampung sejak arwah Tok Ayah bekerja sebagai pegawai kastam di Singapura. Grandma pula tinggal bergilir-gilir di rumah anak-anaknya di Australia. Cuma Mak Dah yang tinggal di kawasan kampung di Parit Sulong. Itu pun cuma ada lembu-lembu dan pokok buah-buahan. Tiada sawah padi atau air terjun, atau sekurang-kurangnya sebatang sungai yang mengalir jernih. Tiada kicauan merdu sang burung yang menghiburkan. Tiada unggas yang berterbangan. Pacat? Selalu juga aku dengar…tetapi tidak pernah pula aku jumpa. Setakat tengok dalam televisyen adalah. Kasihan aku ini, kan? Teman-teman selalu tertawa apabila aku mengatakan yang aku tidak pernah terjumpa,apatah lagi menyentuh haiwan yang aku sendiri tidak pasti mahu dikategorikan sebagai apa itu.

 

     “Menung jauh nampak! Dah sampai mana?” aku tersengih, tidak menyangka rupa-rupanya ada orang bertinggung di sebelahku. Sudah berapa lama agaknya aku diperhatikan?

 

    “Dah lama datang? Tak perasan pun,”soalku tanpa memandang wajahnya.

 

    “Lamalah jugak, dalam 45 minit,” terkejut aku mendengarnya. Macam mana aku boleh tidak sedar?

 

    “Fatiha tak nak balik ke? Dah petang ni, langit pun mendung je. Kalau bertolak lambat,malam baru sampai,” matanya redup memandangku. Menanti balasan. Dan aku yang masih belum puas di kelilingi flora dan fauna, terlalu berat hati untuk pulang ke tempat asal yang terlalu sesak dengan racun karbon monoksida. Namun apabila terkenangkan cuti semester yang sudah hampir ke  penghujungnya, aku mengangguk lemah.

 

    Setibanya di perkarangan teratak usang nenek Nurul yang cukup indah buatku itu, hatiku tiba-tiba diasak pilu sekali lagi. Entah kenapa aku berasa sangat berat umtuk meninggalkan rumah ini. Mungkin juga kerana aku sangat rindu akan kampung halaman yang jauh nun di seberang benua. Langkah lemah kuhayunkan juga ke bilik teman yang baru setahun aku kenal sejak menyambung pelajaranku yang terkandas di Canberra dulu di Universiti Malaya. Ketika memasukkan pakaian ke dalam bag, gerakan tanganku terhenti apabila terpandang sebuah kitab Al-Quran lama yang diletakkan di atas rehal, berhampiran dengan hamparan sejadah. Sejarah hidupku bertandang lagi dalam lamunan…

 

    Malam masih muda biarpun waktu sudah melepasi jam sepuluh. Sekumpulan remaja terpekik terlolong sambil terhuyung-hayang dalam keadaan mabuk. Ada enam oran semuanya, berpasangan .Tiga orang lelaki berpakaian kasual dengan kemeja yang butang bahagian atasnya tidak terkatup manakala dua gadis berambut perang dan seorang lagi yang berambut hitam kecoklatan memakai skirt pendek menampakkan peha mereka yang putih dan gebu dipadankan dengan T-shirt sendat yang terdedah di bahagian dada. Pasangan-pasangan itu saling berpelukan tanpa menghiraukan orang di sekeliling. Terasa malu sekali untuk mengakui, sebenarnya aku adalah salah seorang daripada mereka!

 

      Sebuah kereta sport merah hati berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah putih yang masih diterangi cahaya suram walaupun sekarang sudah hampir pukul tiga pagi. Tidak lama kemudian pintu kereta tebuka dan seorang gadis melangkah keluar dengan perlahan. Lima remaja itu masih terjerit-jerit dan sesekali berderai ketawa mereka. Entah apa yang dijerit dan diketawakan, mereka sendiri tidak pasti sebenarnya. Mereka semua masih mamai dalam khayal tegukan air syaitan.

 

 

      Suasana di dalam rumah nampak tenang. Tiada tanda-tanda ada orang yang masih berjaga. Dengan penuh berhati-hati, daun pintu kututup. Setiap sudut ruang tamu yang malap dengan simbahan cahaya lampu kristal kurenung,memastikan  bahawa tiada sesiapa yang sedang memerhatikan pergerakanku. Takut juga kalau mummy masih belum tidur…

 

     “Dari mana ni, Anna?!”

 

     Kakiku menjadi kaku. Entah dari mana munculnya mummy, aku sendiri tidak tahu. Apa yang pasti sekarang mummy sudah terpacak di hadapanku, tidak ubah  seperti seekor singa betina yang kelaparan. Di dalam fikiranku kini cuma ada satu perkataan. MATI!

 

     “I’m asking you a question,Anna! And a question must has an answer,” mummy

beralih bahasa. Bukannya aku tidak faham Bahasa Melayu. Mummy sudah mengajarku bahasa ibundanya itu sejak aku kecil lagi…cuma aku sahaja yang kurang berminat.

 

    “ I was celebrating my friend’s birthday;” itu sahaja jawapan yang mampu kuberikan. Apa yang aku buat di sana,mumy tidak perlu tahu.

 

  “You did something wrong, didn’t you?” mummy menduga. Penampilanku dinihari itu mungkin telah berjaya mengusik naluri seorang ibu. Dia memandang tepat ke mataku. Renungannya tajam, cukup menggerunkan. Penuh dengan rasa curiga.

 

   “No, I didn’t,” satu pembohongan telah tercipta.

 

 

   “Dah siap, Fatiha?” tiba-tiba Nurul muncul di muka pintu. Cepat-cepat aku mengesat pipi yang basah.

 

   “Eh, kenapa ni? Fatiha ada masalah ke? Kalau ada beritahu Nurul, mana tau kalau boleh ditolong,” dia mendekatiku. Kepala kugeleng pantas, sebagai isyarat tiada apa yang perlu dirisaukan. Mujur dia percaya.

 

      --------------------------------------------------------------------------------------------------

    Seekor burung merpati putih datang bertenggek di dahan pokok mangga, bersebelahan dengan bangku kayu tempat aku berehat. Kehadirannya mengingatkan aku kepada kata-kata mummy tidak lama dulu.

 

    “Merpati putih itu melambangkan kebebasan. Bebas merupakansesuatu yang universal, terlalu luas. Tapi di sini maksudnya bebas untuk menyuarakan pendapat dan membuat keputusan tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” itu jawapan yang mummy berikan apabila aku bertanya kenapa merpati putih digunakan dalam logo Pergerakan Negara Berkecuali (NAM). Leteran mummy kira-kira setahun lalu juga masih terngiang-ngiang  di telingaku.

 

   “Bohong!” tengking mummy. Tersentak aku dibuatnya. Ini adalah kali pertama mummy meninggikan suaranya kepadaku.

 

   “Sejak bila dah pandai menipu ni? Setahu mummy, mummy tak pernah ajar anak-anak mummy berbohong,” mummy berhenti sesaat, menahan sebak di dada. Aku dapat mengagak segala kegiatanku selama ini sudah dapat dihidu oleh mummy.

 

  “Mungkin semua ini salah mummy. Selama ni mummy terlalu percaya pada anak-anak mummymummy terlalu yakin dengan diri sendiri! Sebab yakin dengan didikan yang mummy berilah, mummy bagi kebebasan kepada kamu semua untuk tentukan hidup kamu sendiri. Tapi mummy betul-betul tak sangka yang Anna sanggup tipu mummy. Anna hancurkan harapan mummy dan masa depan Anna sendiri,” suara mummy kedengaran sayu. Itu sudah cukup menggambarkan betapa kecewanya perasaan si ibu apabila mengetahui sikap sebenar si anak yang selama ini disangka tiada cacat celanya.

 

   Suasana sunyi seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Otakku ligat berputar, memikirkan butir hujah yang perlu dibahaskan untuk membela diri. Salahkah aku jika bersuka ria bersama teman-teman? Bukankah semua ini perkara biasa bagi masyarakat negara ini? Memang  aku ini anak kacukan Melayu-Inggeris, tetapi aku dan abang tidak pernah sekali pun hidup sebagai orang Melayu  memandangkan kami dibesarkan di tengah-tengah masyarakat barat. Selama ini pun mummy tidak pernah melarang apa sahaja keinginanku. Aku bebas memilih hala tuju hidupku sendiri.

 

 

   Rintik-rintik hujan memaksa aku meninggalkan taman itu. Sekumpulan kanak-kanak yang sedari tadi seronok bermain kelihatan beredar bersama ibu bapa mereka. Suara mummy juga terbang bersama si burung merpati putih..

 

--------------------------------------------------------------------------------------------------

 

   “Diam tak diam dah setahun Fatiha duduk kat Malaysia ni kan, Nurul? Esok kita dah nak puasa”

 

   “Yelah…esok dah puasa kan? Nanti kita nak sahur apa? Setakat mee segera adalah dalam kabinet tu. Eei, ni yang rindu asam pedas nenek ni!”

 

   “Eh, Fatiha! Kenapa pulak ni? Termenung sana, termenung sini. Ingat kat siapa, hah? Kebelakangan ni Nurul tengok Fatiha asyik termenung je. Rindu pada keluarga ke?”

 

   Hanya senyuman yang mampu kuukir. Aku tidak mempunyai jawapan pasti untuk soalannya itu. Rasa rindu pada keluarga dan kawan-kawanku di Canberra semakin hari semakin menebal biarpun ia tidaklah begitu ketara kerana aku sangat gembira dan bahagia dapat berada di tanah tumpah darah ibuku ini. Apa yang bermain di fikiranku kini mungkin tidak akan  dapat diselami oleh orang lain, termasuk Nurul yang menjadi teman serumahku selama ini. Dia tidak akan faham betapa bermaknanya Ramadhan bagi orang sepertiku. Aku juga tidak pernah  bercerita kepadanya tentang kehidupan silamku dulu. Mujur dia tidak pernah bertanya. Bagaimana agaknya penjelasan yang perlu kuberi jika tiba-tiba isu itu dibangkitkan? Perlukah aku mengatakan bahawa hidupku dulu terlalu bebas sehingga aku kehilangan mahkota wanitaku? Patutkah aku membuka pekung di dada dengan memberitahu yang aku tidak lagi sesuci bayi yang baru dilahirkan? Mampukah aku membuka semula simpulan rahsia setelah sekian lama kujaga rapi tanpa pengetahuan sesiapa, terutamanya mummy? Beranikah aku?

 

   ----------------------------------------------------------------------------------------------------

 

     Satu Ramadhan bertandang lagi. Pada tarikh yang sama 365 hari yang lalu, buat julung kalinya aku menjejakkan kaki ke Malaysia selepas sepuluh tahun. Sebetulnya kedatanganku kali ini adalah atas arahan mummy yang mahu aku menghabiskan cuti musim panasku di kampung halamannya. Tempat itu terlalu mundur dan membosankan, begitu telahanku kala memprotes cadangan mummy. Tetapi apakan daya..mummy tetap mummy. Arahannya yang kuanggap sebagai hukuman itu mesti dituruti.

 

    Kira-kira jam lapan pagi waktu di Malaysia, sebuah teksi yang membawaku tiba di alamat yang tertera di atas kertas yang mummy beri. Sebuah  kampung? Aku benar-benar tidak menyangka bahawa adik ibuku tinggal di kawasan sebegini. Mataku melilau memerhati sekeliling. Tiada apa yang menarik. Cuma ada pokok-pokok yang tidak kuketahui spesisnya.

 

    Bukk!!

 

   “Aduh, sakitnya!”

 

 Lengan kuurut perlahan, sambil anak mataku tidak telepas dari memandang sebiji kelapa yang tiba-tiba muncul. Datangnya entah dari mana..tahu-tahu sudah terasa sengal di tangan kiriku. Aku menoleh belakang, menyoroti sebatang pokok kelapa yang sederhana tinggi. Belum pun sempat pandanganku mengecam seekor binatang yang sedang berpaut pada batang di bahagian atas pohon itu…

 

   Bukk!!

 

Sekali lagi…sebiji kelapa bergolek di atas tanah sebelum hilang di celah-celah semak – samun. Nasib baik aku sempat mengelak. Namun mindaku masih dipenuhi tanda tanya. Apakah gerangannya haiwan itu? Sekali imbas kelihatan seperti monyet…tetapi ada kelainan nya apabila dibandingkan. Hatiku bertambah resah. Entah apalagi yang akan ku temui selepas ini.

 

    “Fatiha!” jerit Nurul secara tiba-tiba. Serentak dengan itu sebiji mug terlepas dari tanganku lalu mencium lantai.

 

    “ Hai, berangan apalah tu sampai tak ingat dunia. Tengok, kan dah pecah mug tu. Dahlah kita ni kekurangan cawan, dipecahkannya lagi,” bibir munggil Nurul terkumat-kamit merungut sambil tangannya pantas mengutip serpihan kaca yang sudah berderai.

 

   “Yang Nurul tiba-tiba menjerit  tu kenapa? Rasanya kalau bukan sebab Nurul yang buat Fatiha terkejut , mesti mug tu tak jatuh,” aku cuba membela diri biarpun aku sedar semua ini adalah salahku. Sejak kebelakangan ini aku selalu sahaja mengalamun mengimbau kenangan lama.

 

    -------------------------------------------------------------------------------------------------

 

   Jarum jam baru melewati angka dua. Tangan kananku meramas-ramas perut yang sudah mula berkeroncong. Tinggal bersendirian membuatkan aku bosan dan asyik menghitung jari mengira waktu berbuka. Teringat aku ketika kali pertama berpuasa di rumah ibu saudaraku dulu…

 

    Hari pertama bersama ibu saudara yang kupanggil Mak Dah ini agak payah. Masalah utama yang kuhadapi ialah masalah komunikasi. Dia tidak faham Bahasa Inggeris! Perkataan yang dia tahu hanyalah yes, no, alright dan thank you. Maka akulah yang terpaksa terkial-kial membetulkan lidah yang tergeliat bertutur dalam Bahasa Melayu. Itupun nasib baik cuma ada aku dan dia di dalam rumah itu, jadi tidak perlulah aku bersusah payah berbual dengan orang lain pula.

 

   Hari kedua lebih sengsara. Seharian aku dibiarkan mengikat perut. Mak Dah mengajakku berpuasa dengan alasan semua orang Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Mahu tidak mahu aku ikutkan juga kata-katanya. Aku tidak mahu dia mengadu pada mummy. Aku juga tidak mahu mummy tahu yang selama ini aku cuma pura-pura berpuasa di depannya, hakikatnya tidak.

 

   Hari ketiga aku menyangka semuanya akan berjalan lancar, seperti yang aku rancangkan sebelum ini; minggu pertama segala rentak lagu yang Mak Dah mainkan akan kuikut lalu Mak Dah yang menganggap aku sebagai anak yang baik, akan termakan pujukanku supaya dia membenarkan aku pulang. Namun surat dari mummy petang tadi telah mengubah segalanya. Semuanya telah diuruskan. Aku tidak perlu lagi pulang ke Canberra untuk menyelesaikan pengajianku. Malah kemasukanku ke universiti tempatan juga telah mummy uruskan. Mummy mahu aku terus tinggal di sini? Itu merupakan sesuatu yang mustahil.

 

  “Fatiha, kamu sakit ke? Lain je kamu hari ni,” Mak Dah bersuara di sebalik pintu. Mungkin juga dia hairan kerana malam itu aku terus mengunci diri di dalam bilik setelah berbuka tadi. Selalunya aku akan membantunya mengemas dapur dahulu sebelum menonton televisyen di ruang tamu.

 

  “No,I’m o.k. Saya tak apa-apa”

 

   Malam di kampung memang sunyi. Inikan pula sekarang sudah hampir dua pagi…sudah tentu semua orang sedang enak dibuai mimpi. Beg sandang di bawah katil kutarik lembut. Kemudian tombol pintu kupulas perlahan, mengelak kesan bunyi semaksimum mungkin. Aku menjenguk ke luar. Setelah pasti Mak Dah sudah masuk ke dalam biliknya, baru aku keluar. Aku sudah bertekad untuk lari malam ini. Ke mana, aku sendiri tidak pasti. Tetapi yang nyata…aku tidak mahu berada di sini lagi. Kehidupanku adalah di Canberra, bersama teman-teman yang cukup memahami.

 

   Seluruh jiwa ku tiba-tiba bergetar. Merdu suara itu mengalunkan ayat-ayat suci mengundang seribu kesayuan. Ini bukan kali pertama aku mendengarnya. Sudah banyak kali. Mummy memang selalu mengulit kitab itu sepanjang malam, Cuma aku sahaja yang tidak ambil pusing. Tetapi entah kuasa apa yang meresap ke dalam diri ini sehingga aku tidak mampu lagi berganjak walau setapak. Aku senang begini…bersimpuh di tepi bilik Mak Dah dan tekun mendengar kalimah-kalimah yang aku sendiri tidak tahu maksudnya. Perasaan tenang menyelimuti malamku yang sebelum ini sedingin salju biarpun unggun menemani. Lantas aku terlupa terus hasrat asalku tadi.

 

   --------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

  Pada suatu petang yang redup, aku menerima sekeping kad dari kampung halaman. Gembira bukan kepalang hatiku ini, Allah sahaja yang mengetahui. Dengan cermat aku menyiat hujung sampul berwarna hijau daun. Sekeping kad hasil kreativiti pengirim kurenung lama.

   

 Buat puteriku yang jauh di mata, kekal di sanubari...

        JOANNA NUR FATIHAH


Walau setinggi mana terbangmu

walau sedalam mana selammu

kembaramu singgah jua

ke desa ini...

desa keinsafan

desa keimanan

kepada Dia yang satu.


Biar luluh deritamu

bersama selisih bayu

biar luntur dosamu

bersama ombak berlalu

biarkan Nur memancar sinar

serinya seindah namamu.

 Salam aidilfitri,

   MUMMY

 

  Tanpa kusedari empangan mataku pecah. Manik-manik jernih membasahi pipi. Puisi nukilan mummy kali ini benar-benar menyentuh kalbu, sarat makna tersirat. Aku tahu inilah yang mummy nantikan saban waktu. Kini doa mummy diperkenankan Allah, bukan sedar angan-angan kosong.

 

                         -TAMAT-

 

Cahaya Kekasih

November 2003

 

p/s: tulisan masa form 4...thanks to akak sebab type kan balik cerpen ni...habis da 3 cerpen CK ..xde lagi....semua da post kat kapa :P

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) wow..thanks for sharing...best..leh thn kemas...

  • (Penulis)
    2) thanks paktam....yg ni masa buat dulu dipantau oleh 2 orang cikgu sekolah CK....yg sorang tu memang penulis...banyak la tengok2 kan poem ck dulu....tapi die pun da bz sekarang..dah tak tengok karya ck lagi
  • 3) hoho..patutlah kemmasnya lain mcm..tolak slh taip..

    kira senasib dgn "Penulis jalanan di bawah pohon semarak api" la ni..?

  • (Penulis)
    4) kemas eh.....editing sume wat sendiri...cikgu just baca pastu suruh rombak balik...suruh adjust konflik....watak x kukuh la apa...pastu betul kan sendiri....bagi cikgu baca balik ok die puas ati...huhu....macam buat keje sekolah lak

    senasib la paktam....i know how u feel..hehe
  • 5) Ditulis semasa tingkatan empat? Wah...

    Okey, memandangkan sekarang awak bukan lagi pelajar tingkatan empat, saya komen lebih sikit ya. Hehehe...

    Secara keseluruhan, ia sebuah cerpen yang lengkap dari segi struktur, monolog dan dialog. Cuma teknik imbas kembali yang diselang-selikan agak sedikit celaru. Justifikasi wataknya juga tidak ketara.

    Saya rasa, mungkin sekarang awak boleh kemas-kini cerita ini semula dan mana tahu boleh cuba hantar ke media cetak sekali lagi. Saya tahu awak boleh lakukannya...

  • (Penulis)
    6) hehe.....ini la satu2 nye cerpen yang saya tulis dengan serius...

    saya tak tahu la saya masih boleh menulis cerpen ke tak...lama dah tak buat keje ni...7tahun...huhu...saya tak berapa confident nak tulis lagi...

    hantar ke media cetak sekali lagi? huhu...tak tahu macam mana nak adjust balik pun...

    terima kasih ridhrohzai
  • 7) kalu sekarang tulis, tentu lebih baik.

  • (Penulis)
    8) ntah bila la nak menulis cerpen balik..huhu
  • 9) sory yu, i baru bace..haha. komen akak riji : bagus. terasa la jugak sayu perasaan tu. (alwez CK la yu~) bahasa nya bagus. n..tak perlu kot akak komen storyline..just nice. cuma tiba-tiba tang ending. teknik flashback dh cun. (mngikut usia kamu waktu itu kira baik lah )

  • (Penulis)
    10) rizzy: no comment....

Cerpen-cerpen lain nukilan Kekasih

Read all stories by Kekasih