Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Demi Kepulangan Kak Long, Aku Terkedu Melihat Ramai Yang Menolong.

Demi Kepulangan Kak Long, Aku Terkedu Melihat Ramai Yang Menolong.

Kepiluan seorang adik terhadap nasib kakak iparnya yang tidak dapat pulang sempena meraikan anak bongsunya yg cemerlang dalam SPM membuatkan majikan dan rakan-rakan kerjanya membantu untuk meringankan beban.

 

Hati Maisarah Syuib berkecamuk. Tak tenang rasanya buat kerja-kerja pengkeranian di Pejabat Guaman Hasbullah Ali Bersaudara. Semuanya kerana panggilan telefon yang diterima tengah hari tadi.

 

“Maisarah, Kak Long bimbang tak dapat balik. Duit Kak Long tak cukup!”

 

Mana mungkin! Kak Long tak boleh terlepas majlis kesyukuran sempena meraikan anak bongsunya yang dapat 10A dalam SPM. Ini sungguh tak normal! Sejak Kak Long kerja di Sweden tak pernah jadi macam ni. Setiap kali pulang, mesti on time. Apa yang Kak Long janji, mesti Kak Long tepati.

 

Rupanya resah di hati Maisarah jelas terpancar pada wajah Maisarah. Kesan jerawat mula timbul, membuatkan setiausaha Tuan Rashid iaitu Nina menegur.

 

“Oi, wakpe mung?”

 

Tak padan dengan cun. Slanga Terengganunya pekat sungguh.

 

“Nina, aku bimbang ni. Kak Long aku...”

 

“Hok kije di Sweden nuh ke? Wakpe nga Kak Long mung?”

 

Maisarah betulkan cekak rambut sebelum menjawab. “Dia call tengah hari tadi. Sepatutnya dia balik pukul 8 malam ni. Tapi dia call tadi kata tak dapat balik!”

 

Berkerut muka Nina mendengar. “Hoh doh, mung nok wak gane? Wakpe die dokleh kelik? Dok cuti ke?”

 

Maisarah menceritakan semuanya. Dari mula-mula cerita Nina saja yang mendengar, sekarang satu pejabat berkumpul di meja Maisarah termasuklah bos mereka Tuan Hasbullah Ali. Dengan linangan air mata Maisarah menyudahkan cerita.

 

“Macam tulah kiranya cerita Kak Long saya ni. Saya nak tolong pun, saya sendiri tak ada duit...”

 

Nina tanya. “Saing-saing die dokleh tulung ke? Berat ah gini!”

 

Geleng. “Kak Long kata kawan-kawan dia pun nak guna duit sekarang ni. Maklumlah tengah bulan.”

 

“Ooooh...tak cukup duit.” Sampuk Tuan Hasbullah yang dah lama menaruh hati pada Maisarah.

 

“Maisarah tak tahu nak tolong macam mana, bos. Dahlah Maisarah pun takde duit. Nak tunggu dia, mahu mengamuk mak kalau Maisarah tak balik-balik. Kesian Kak Long, bos. Malam ni kenduri kesyukuran Ihsan. Ihsan dapat 10A.” Sehelai tisu dirembat dari kotak tisu atas meja Nina. “Tapi ni...sebab tak cukup duit tambang lagi...”

 

Tuan Hasbullah urut dagu mendengar ayat Maisarah yang tergantung kerana Maisarah terlalu sebak untuk meneruskannya. Maisarah suka benar melihat posing Tuan Hasbullah macam tu. Nampak sungguh maskulin dan penuh elegan. Macam putera impian Maisarah dulu-dulu. Tapi dalam masa kecemasan ni Maisarah kenalah cover-cover sikit nanti dikata sengaja nak tarik perhatian. Sudahlah ramai pekerja wanita yang berharap boleh menjadi suri di hati Tuan Hasbullah.

 

“Takpe, Maisarah. Saya akan usahakan apa yang saya mampu. Beri saya satu jam, okey?” akhirnya Tuan Hasbullah bersuara.

 

Maisarah tak tahu apa yang jadi. Sebab selama lima belas minit Tuan Hasbullah panggil semua eksekutif masuk bilik meeting. Kemudian bila keluar semua lalu depan meja Maisarah dan suruh Maisarah bersabar.

 

Tuan Hasbullah sengih lebar bila keluar dari bilik meeting menuju ke meja Maisarah. “Dah, Maisarah. Kita dah kumpul sejumlah wang. Awak boleh bagi pada Kak Long awak.”

 

Alangkah gembira bukan kepalang Maisarah bila mendengar ayat yang lancar keluar dari mulut Tuan Hasbullah itu. Terasa ingin dipeluk-peluk lelaki bujang berusia hampir 40 tahun itu namun dia masih bimbang digosip. Jika gosip sampai ke telinga mak, mak piat Maisarah tanpa usul periksa.

 

Jadi apa yang Maisarah mampu buat ialah nak ucap terima kasih.

 

“Tapi...” Ada satu lagi masalah. “Nak hantar duit pada Kak Long tu...Maisarah takde kereta nak hantar ke...”

 

“Tak apa, Maisarah! Saya boleh bawakan Maisarah. Cakap, mana nak pergi saya bawa.”

 

Maka selepas jam lima, selepas Maisarah mengemaskan fail-fail di meja, selepas Maisarah punch card, Tuan Hasbullah sudah menunggu di kereta Nissan Latio Hatchback warna putih dengan suspensi manual. Katanya manual lebih senang nak race. Maisarah tak tahu, Maisarah ni, lesen memandu pun tak ada.

 

Dalam perjalanan Tuan Hasbullah berbual dengan Maisarah untuk menenangkan hati Maisarah. Maklumlah, melihat wajah gadis pujaannya resah, dia pun turut resah sama. Dia tanyakan tentang Kak Long Maisarah.

 

Maisarah cerita tentang Kak Long. Katanya Kak Long itu kakak ipar Maisarah saja. Selepas kematian suaminya iaitu abang Maisarah, Kak Long perlu mula bekerja. Satu per satu kerja Kak Long minta. Akhirnya Kak Long dapat tawaran jadi pembuat roti di Sweden.

 

“Jauhnya!”

 

“Kak Long kerja kuat, bos. Nak sara anak dia, nak sara mak dia, mak saya. Memang saya respek Kak Long! Eh bos, pusing ke kanan ya.”

 

Tuan Hasbullah jeling ke dereta kedai di kanan. Dilihatnya ada Bank Kerakyatan. Mungkin di sini Maisarah hantar duit pada Kak Long. Dia menurut. Sebab ketiadaan parkir Tuan Hasbullah letak kereta tepi jalan saja.

 

“Nah, ni wang yang kami kumpul tadi. Taklah banyak mana tapi kami harap dapatlah bantu Kak Long.” Sebuah sampul surat tebal diserahan pada Maisarah.

 

“Eh bos, banyaknya. Saya nak guna...”

 

“Dah! Cepat pergi. Nanti tak balik pula Kak Long awak tu.”

 

Cepat-cepat Maisarah berlalu. Setelah beberapa minit Maisarah kembali dengan wajah jernih, lega kerana dapat membantu. Diserahkan semula sampul surat yang masih tebal pada Tuan Hasbullah.

 

“Terima kasih bos!”

 

“Eh, ni sampul ni masih tebal. Berapa Kak Long awak nak guna?” Signal ke kanan diberi.

 

“Lima ringgit je.”

 

Entah pedal mana yang ditekan Tuan Hasbullah sampai kedua-dua mereka hampir terhantuk ke depan. Mujur mereka ada kesedaran memakai tali pinggang keledar yang telah diiklankan oleh Kerajaan Malaysia.

 

“Lima ringgit je?”

 

Maisarah angguk.

 

“Nak balik dari Sweden lima ringgit je tak cukup???”

 

Maisarah angguk lagi.

 

“Impossible!” yang Tuan Hasbullah kumpul tadi hampir seribu tiga ratus ringgit, tahu!!

 

“Anyway Kak Long kata terima kasih. Esok Kak Long ganti.”

 

“Kan Sweden tu..”

 

“ Ha, Sweden tu...” Maisarah tunjuk ke luar tingkap. Di deret kedai itu, di sebelah Bank Kerakyatan itu, tersergam papan tanda warna ungu bertulis

 

Kedai Kek Dan Bakeri SWEDEN

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Sumpah i het yuhhhhhhhh!

  • (Penulis)
    2) love me hate me say what u want about me..heh heh
  • 3) aku tak pastilah maisarah atau kak long dia yg buat aku bengang...haha! cis!
  • 4) kak long dan Maisarah sama je ...nak kena piat telinga ni!
  • 5) hahahaha ai het yuhhh klaky!!! penat ai bace dgn penuh emosi tau!
  • 6) dah dpt agak bakal kena tipu tapi degil baca gak smpi abis. huhuhuu..
  • 7) kamalia: haha *lariiiii!!*

    Kurusawa: jangan piat telinga ai sudah. hehe

    NJay: hihihi macam duduk dalam freezer tapi tetiba tersimbah air panas kan?

    ilyana: hue hue hue! that's the point
  • 8) Cis, terkena pasha!

Cerpen-cerpen lain nukilan MissClarks

Read all stories by MissClarks