Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kerudung Merah Marwa

 

Nota: Pernah disiarkan dalam Tunas Cipta Ogos 2011.

Dikongsi di sini sebagai kenangan alam maya, dan mencari sudut pandang rakan-rakan Kapasitor.

                                                                         ***********

Sama sekali dia tidak menyangka hijrahnya seperit ini. Demi masa depan dan sesuap rezeki halal buat keluarga tercinta, dia berpisah dari lembah Nil tanah tumpah darahnya. Kata orang, barang siapa yang pernah minum air sungai Nil pasti kembali ke Mesir. Itulah impiannya jua.

            “ Tiada apa yang kurang pada negeriku,” keluh batinnya. Bukankah Al-Azhar gedung melahirkan ribuan ulama seantero dunia letaknya di bumi Firaun ini. Negeri itu bukan sahaja kaya dengan agamawan, bahkan ilmuan pelbagai bidang. Dalam  dewan kebesaran anugerah Nobel telah mencatatkan nama dua warganya, sasterawan Naguib Mahfuz serta ahli kimia Dr. Ahmad Zewail yang berupaya menganalisis tindak balas kimia dengan lebih terperinci.

            Jauh di sudut hatinya, hijrah mana yang kontang dari dugaan. Bukankah Nabi Muhammad telah menunjukkan teladan. Minoriti umat Islam di Makkah pernah sahaja kebuluran tiga tahun akibat boikot anjuran pembesar musyrikin Makkah. Kemuncak penentangan mereka ialah nyawa Rasulullah sendiri, hinggalah Allah memberi lampu hijau kepada baginda berhijrah ke bumi Yathrib. Kota yang kini dikenali Madinah Al-Munawwarah, kota bercahaya belum terjamin dari ancaman dari Makkah. Ada sahaja rencana yang berbuah perang, dan umat negara Islam Madinah bangkit menentang mempertahankan diri dan akidah yang dianuti.

            Negerinya bumi bertuah. Bumi yang menyimpan khazanah tamadun purba dan jejak kenabian. Lembah yang subur dari aliran Nil kurniaan Tuhan. Begitu cocok dengan gelar Ummu Dun-ya. Dia berbangga menjadi warga Mesir, hingga tercatat dalam lembaran sirah Rasulullah. Mariah Qibtiah, satu-satunya hamba Rasulullah asalan Mesir yang melahirkan anak baginda selain Saidatina Khadijah. Tatkala fitnah tercetus menggoncang umat, berbondong- bondong keturunan ahlul bait berlindung di bumi ini.

            Sungguhpun demikian, negeri ini mundur iktisadnya jika dibanding limpahan sumber mentah yang ada. Mujurlah negeri yang kaya sejarah ini masih berupaya menggamit jutaan pelancong bertandang, khususnya pengembara Barat yang terpesona dengan mumia dan piramid di negerinya. 30 tahun Presiden ini memerintah bagaikan azab buat rakyat jelata. Dia sangka, revolusi yang menjatuhkan Raja Farouk yang kemaruk beristeri ramai memberi nafas kemajuan buat rakyat, hanya tinggal impian kosong apabila silih berganti diperintah presiden kuku besi. Saling tak tumpah plot novel The Animal Farm yang pernah dibacanya tika di universiti dahulu.

            Atas nama cinta dan taat seorang isteri, dia mengikut suaminya berhijrah ke Jerman negeri Eropah yang makmur di utara. Dia tahu di sana punya 1001 peluang untuk memajukan diri, agar akhirnya mereka punya daya untuk menyumbang kembali kepada umat. Dia begitu cemburu dengan Barat. Mungkin inilah yang dimaksudkan Jamaluddin Al-Afghani “Ketika aku di Paris, aku melihat Islam dalam kalangan bukan Islam. Tatkala aku di Mesir, aku melihat orang Islam tanpa Islam!” Dia sedar sudah ramai teman seangkatannya berhijrah ke Eropah.

            “ Doktor, lekas lihat di luar!” teriak pembantunya yang membantutkan lamunan.

            “ Astaghfirullah,” ucap hatinya ketika melihat dinding hadapan farmasi miliknya berconteng dengan kalimah TERRORIST berwarna merah.

            “ Adukan sahaja pada pihak berkuasa doktor,”ujar pembantu yang baik hati, kehairanan melihat kesabaran majikannya wanita Mesir graduan farmasi kelas satu ini.

            “ Mary, bukan saya tidak mahu. Cuma keadaan yang tidak mengizinkan,” tuturnya tenang, bijak menyimpan rahsia yang menusuk kalbunya.

            “ Maksud doktor, Islamofobia? “ tanya pembantunya ingin tahu.

            “ Ya, dan tidak,” kilasnya berteka-teki lagi. Dia amat mengenali dalang di sebalik semua ini. Alex, lelaki yang berkongsi dinding rumahnya. Saban hari, ada sahaja gangguan yang menimpa keluarganya. Longgokan sampah asing entah dari mana sudah menjadi tetamu tetap di halaman rumahnya. Pabila bersua muka, pasti hamburan kata-kata kesat menjadikan sajian telinga. Syukur Alex belum berani mengusik anak lelaki sulungnya.

            Dia pernah juga mengadu rasa kepada suami yang tersayang, Ali. Setiap kali aduannya pasti disambut pujuk rayu sang suami.

            “ Sabarlah sayang. Dugaan hidup ini satu dakwah,” jawab sang suami walaupun keletihan pulang dari tempat kerja.

            “ Kita bukan meminta lebih. Cuma sedikit hak sebagai seorang jiran dan warganegara yang bebas untuk melaksanakan tuntutan agamanya. Di mana janji dan jaminan kebebasan yang begitu digembar-gemburkan Barat di media massa?” hujahnya meluahkan yang terbuku di jiwa. Yang lebih dirisaukan keselamatan anak lelaki yang belum kenal ganasnya kehidupan.

            “ Sayangku, Nabi yang kita cintai dan dambakan syafaatnya kelak begitu juga diperlakukan musyrikin dan Yahudi. Sayangku, tabahlah seperti pohon di tepi jalan yang setia memberi buah walaupun dilontar batu kerikil yang menyakitkan. Begitulah kita selaku Muslim menunjukkan akhlak mulia, moga kita dapat memetik buah-buah amalan di syurga Ilahi kelak,” sekali lagi badai perasaannya tumpas pada tutur jujur sang suami yang menenangkan. Tidak menghairankan kerana suami yang dicintai ialah seorang aktivis pemuda Ikhwanul Muslimin. Dalam usrah Ikhwanul Muslimin juga mereka mendirikan baitul muslim, dan untuk mempertahankan prinsip yang mereka juangkan mereka memilih hijrah dek tekanan keras sang Presiden ke atas barisan pembangkang khususnya Ikhwanul Muslimin yang digeruni selama ini.

            Islam menjadi duri, buat kafir mahupun muslim sendiri!

            Dia mengakui, perpindahan mereka ke Dresden ialah pada waktu yang salah dan di tempat yang salah. Eropah sedang dicucuh api perkauman dan Islamofobia gara-gara ulah Geert Wilders, ahli parlimen Belanda yang menghasilkan filem Fitna yang penuh fitnah kepada umat Islam. Dresden bukanlah kota yang begitu mengalu-alukan kedatangan Muslim sepertinya. Meletakkan beban peristiwa 11 September dan pengeboman stesen kereta api Madrid di pundak agama Islam ialah tindakan sang bebal, sedang Ireland Utara sudah lama bergolak kerja onar pemberontak Protestan. Hingga kini, dunia Barat menjadi syaitan bisu apabila diajukan persoalan nasib rakyat Palestin yang sudah lebih 60 tahun diganyang Israel.

            Acapkali agamanya dicabar persoalan jihad dan pengebom berani mati berdalilkan ayat 60 surah Al-Anfal. Sedangkan mereka ingat-ingat lupa pada ayat 61 surah yang sama, Allah berfirman “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Islam sendiri mengajar umatnya agar tidak membunuh wanita dan kanak-kanak ketika berperang, bahkan Nabi begitu melindungi kaum kafir zimmi yang berlindung di bawah pemerintah Islam. Nabi begitu tegas melarang daripada menyakiti mereka dan diumpamakan perbuatan tersebut seolah-olah menyakiti baginda. Masakan pencinta sanggup menyakiti hati sang kekasih Tuhan ini.

            Pada suatu hari di musim panas nan membahang, dia sekeluarga bersiar-siar di hujung minggu. Menjadi kebiasaan orang Eropah mengembara ketika musim panas, maka hatinya sedikit lega dengan ketiadaan Alex.

            Dalam riuh-rendah manusia, tiba-tiba kepalanya terasa disentap. Tudung labuhnya ditarik tangan perkasa yang durjana.

            “ Hey perempuan jalang,” dia begitu kenal dengan suara parau lelaki itu.

            “ Allahuakbar,” dia meraung, mengejutkan Ali di sisi. Lantas dia menendang kuat Alex ke belakang, menyebabkannya jatuh terpuruk. Orang ramai jadi kecoh.

            “Kamu sudah melampau, akan kami adukan hal ini kepada pihak polis,” Ali memberi kata putus. Alex hanya menyeringai sinis, seolah-olah kebal dari segala undang-undang dunia.

1 Julai 2009

            Usai solat Subuh, dia berbisik kepada sang suami.

            “ Sayangku, andai daku pergi mempertahankan agama suci, redakan makan minumku. Sayangku, pelihara dan didiklah anak-anak kita supaya menjadi pejuang umat ini,” suaminya sedikit ralat menyambut pesanan itu.

            “ Moga kamu diberi kekuatan menegakkan kebenaran di muka pengadilan,” ujar Ali memberi semangat. Manakan tidak, kini dia sudah tiga bulan mengandungkan zuriat mereka yang kedua.

            Pagi itu aneh. Bukan sahaja dia merasainya, bahkan Ali juga. Terik mentari musim panas biasanya membakar kulit putih melepak warisan genetik kaum Arab, namun ada nyaman yang menyusup deria dan perasaan. Biar dunia jadi saksi betapa busuknya Islamofobia anutan Alex.

            Sayang, bukan Alex seorang menghidap penyakit berjangkit itu. Mungkin berjuta lagi umat di Barat, tidak mustahil segelintir muslim yang termakan dakyah bertopengkan pendidikan. Berjuta lagi umatnya yang buta huruf dan jahil di era globalisasi ini. Dia melangkah gagah ke kandang saksi dalam hening sesi perbicaraan pagi.

            “Allahuakbar,”bergema kalimah suci memecah gempar. Alex rupanya naik minyak dengan pisau di tangan. Entah bagaimana boleh lolos pemeriksaan polis sebelum masuk ke kamar mahkamah. 18 kali tikaman menerjah tubuh seorang muslimah bernama Marwa Al- Sherbini. Ali yang tidak sampai hati dengan tragedi itu bertindak tangkas untuk menguraikan kekusutan, turut menjadi mangsa peluru polis yang tidak bermata.

            Pemerintah Jerman begitu gentar menerima khabar dari mahkamah Dresden. Ketidakadilan telah berlaku, di tempat yang paling tidak layak, kamar yang selama ini begitu utuh dan lantang menyuarakan keadilan. Implikasinya begitu besar, bukan hanya terputusnya hubungan diplomatik dengan sebuah dua negara, bahkan berita ini umpama sengaja mencari fasal dengan satu billion penduduk dunia yang beriman. Kementerian Luar bertungkus lumus menghubungi agensi-agensi berita utama dunia agar pekung yang pecah tidak terdedah.

            Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Berita yang paling tidak ingin didengar oleh kerajaan Jerman, apatah lagi Kesatuan Eropah terlebih dahulu menerobos ‘negara’ Facebook dan Twitter. Dalam tempoh 24 jam, kata kunci ‘marwa’,‘syahidahmarwa’, dan ‘jihad’ telah menjadi trend di dunia Twitter. Situasi yang sama berlaku di Facebook, pelbagai kumpulan dan laman telah direka dan mendapat ribuan, bahkan jutaan peminat dari seluruh dunia. Rupanya ramai bukan muslim yang menaruh simpati atas kejadian yang tidak berperikemanusiaan lagi membelakangkan hak asasi yang diperjuangkan Barat.

            Di merata pelusuk Eropah, umat Islam bangkit melakukan demonstrasi aman. Dunia Arab yang selama ini membisu bagai mendapat suntikan keberanian, bersuara lantang bak singa dengan memutuskan langsung hubungan diplomatik dengan Jerman. Israel terasa gentar dengan kelantangan dunia Arab yang membisu seribu batu selama ini, paling terkesan Mossad yang gagal menghidu dan menjangka peristiwa luar duga ini. Tindakan boikot ekonomi juga digerakkan dan disokong penuh oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradawi.

            Amerika Syarikat turut tidak terkecuali dari menerima lampias kesedaran umat Islam. Para pelabur Asia Barat bersepakat mengeluarkan berbillion wang pelaburan mereka dari Wall Street. Hampir sahaja mereka lumpuh sekiranya Liga Arab mencipta sejarah kedua dengan mengenakan embargo terhadap minyak keluaran mereka. Demonstrasi masih berjalan tanpa menampakkan tanda mahu surut. Menurut Sami Dabbah, wakil Coalition Against Islamophobia mereka tidak akan berganjak selagi kes Marwa tidak diberi pengadilan yang sewajarnya serta beberapa negara seperti Perancis masih berdegil untuk melaksanakan undang-undang anti hijab yang membelakangkan hak populasi muslim yang semakin berkembang di setiap negara Eropah.

            Sekali lagi agen perisikan Barat yang dicanangkan terbaik di dunia seperti C.I.A gagal membaca gerak kebangkitan umat Islam di sana. Cubaan menutup Twitter dan memadamkan akaun Facebook kepunyaan umat Islam umpama anjing menyalak bukit. Jauh di tanah air Marwa, telah berlaku kebangkitan politik apabila isu ini memberi kekuatan kepada Ikhwanul Muslimin untuk bertindak sebagai kumpulan pendesak dan pembangkang yang kuat.

            Telahan Syeikh Said Ramadan Al-Bouti bahawa kebangkitan Islam bermula dari belahan Barat bumi ini hampir menjadi realiti.

Keadaan berbeza 180 darjah di rantau Nusantara. Umat Islam di sini masih lagi tenggelam dalam khayalan asmara Kekasih Halal dendangan kumpulan Wali Band dari seberang

Dia gadis bertudung merah

Hatiku tergoda, terduga...

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan faka91

Read all stories by faka91