Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Dolah cinta Dolly
Dolah dan Dolly bercinta bagai nak rak!
Mereka sentiasa bersama dimana sahaja. Kalau berdating, jalan berpegangan tangan, berkapok macam orang yang dah berkahwin. Mereka dah tak kira halal haram. Maklum sajalah, cinta menjadikan hati dan iman mereka buta. Namun begitu, walaupun iman mereka telah menjadi buta, ia masih mampu menahan godaan syaitan yang menyuruh mereka bersekedudukan. Mereka tidak sampai ke tahap itu lagi. Mereka hanya berjumpa di khalayak ramai. Tak pernah sekali pun mereka berjumpa berdua-duaan.
“baguih la kalau macam tu Dolah! Aku bangga dengan kau!”
Begitulah ujar Meong kawan baik Dolah merangkap teman serumahnya.
“Aku mengaku memang aku gatal dan tak berapa nak baik, tapi aku tak sampai tahap nak bermukah!”
Dolah menjawab ulasan Meong sambil mengunyah jeruk kedondong. Hasil gigitan gigi kacip Dolah yang agak kuat menyebabkan jus kedondong terpercik ke perut Meong yang bogel. Meong hanya tersenyum sinis sambil matanya tetap menonton sebuah rancangan sinetron di TV.
“aku kangen sama kamu Hadramaut!”
“ya..aku juga sama…Sana’a”
Dolah pun agak hairan, dan sering bertanya mengapa kisah cinta sinetron sering menggunakan nama tempat di tanah arab, ataupun nama islamik sebagai tajuk cerita.
“Macam ni lah Dolah, baik kau menikah terus dengan Dolly tu..tak baik orang tengok!”
“hmmm..aku pun ada niat macam tu…tapii..”
“tapi apa?”
“Tante! Ada apaan sih!!!, Aku butuh sirsak ini!”
Dolah mengambil remote control dan merendahkan bahana atau volume suara TV. Selepas itu dia menjawab persoalan Meong.
“yelah..macam biasa, macam cerita-cerita cinta yang cliché, hubungan kami tak mendapat restu ibu bapa!”
Meong hanya mengerutkan dahinya. Macam nak marah, tapi tak jadi.
Dolah sambung lagi.
“aku dah pernah jumpa bapak si Dolly tu. Aku cakap elok-elok, sopan dan penuh hormat. Aku, cakap, Pakcik, saya betul-betul sayang dengan Dolly, saya nak kawin dengan dia!”
“lepas tu?”
“lepas tu dia perambat aku dengan kayu golf!”
Meong menarik nafas panjang dan berkata,
“hmmm…memang betul la cakap kau, memang cliché, yang kau pun, pegi cari anak Dato’ untuk bercinta tu pasai apa?’
Dolah mula membuka plastik keropok ‘Popo’ pula.
“Aku nak buat macamana? Cinta tak mengenal pangkat dan harta!”
Tiba-tiba telefon Dolah berdering. Dengan tenang Dolah menekan butang hijau setelah melihat nombor telefon pemanggil.
“Assalamualaikum! Ye mak! Dolah tak nak mak! Kenapa yang mak pegi terima pinangan orang tu?”
Dolah senyap seketika mendengar jawapan ibunya. Meong hanya membisu melihat tingkah laku Dolah.
“yelah mak..saya kan dah besar.. dah boleh buat keputusan sendiri!”
Meong mendekatkan telinga ke telefon Dolah yang sedang melekat di telinga kirinya. Semakin dekat, semakin kedengaran suara ibu si Dolah.
“Macam ni Dolah…mak dan abah dah nekad nak kawinkan kau dengan Ustaz Karim! Muktamad! Minggu depan kau nikah!”
Dolah menghempaskan telefonnya, berlari sambil menangis dan melompat ke atas katilnya. Dia menekupkan bantal ke mukanya sambil terus menangis tersedu-sedan. Meong menghampirinya dan menenangkannya.
“sudahlah Dolah, kita ni perempuan, sebaiknya ikut saja cakap orang tua…kumbang bukan seekor!!”
Dolah menjerit sekuat hatinya.
“Dollyyyyyyyyyyy!!!!”