Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
konfisi hassan misai
Waktu lapan orang pekerja majlis perbandaran datang dengan jentera nak robohkan gerai makcik peah, gerai belum buka lagi. Waktu itu baru jam 2.00 petang. Biasanya makcik peah buka gerai jam 6.00 petang sampai tengah malam.
Gerai makcik peah harus ditolak dengan jentera sebab binaannya dari simen. Walaupun ia sebenarnya gerai tapi lama kelamaan jadi macam kedai sebab renovation sedikit demi sedikit. Tak ada polis yang eskot sebab yang nak dirobohkan tu cuma gerai picisan sahaja. Kerja enteng bagi mereka.
Bila injin jentera berdegar-degar bersedia hendak langgar gerai, makcik peah pun sampai dengan motorsikal buruknya terkocoh-kacah, lalu menyalak macam orang gila kepada orang-orang majlis perbandaran:
“hoi!, yang kau nak robohkan gerai aku kenapa?!” urat-urat di leher makcik peah kelihatan.
Semua terdiam. Hassan misai yang berpeluh sebab cuaca panas mula membuka topi. Kemudian dikesatnya peluh masam masin di mukanya dengan sapu tangan. Hassan misai adalah ketua di situ.
Makcik peah nampak Hassan misai yang berbadan gemuk di situ. Makcik peah menyalak lagi sambil menuding jari kepada Hassan misai seperti pendekar menghunus keris:
“Kau kan selalu makan dekat gerai aku! Kau tak kenang budi ke?! Anak bini kau pun makan nasik lemak aku jugak kan selama ni?!”
Hassan misai menjawab dengan tutur lembut kepada makcik peah:
“betul tu peah, tapi aku makan aku bayar kan... Notis roboh pun dah 2 bulan bagi. Aku ikut arahan aje”.
Mendengar tutur lembut yang keluar dari halkum Hassan misai, makcik peah berubah nada minta simpati:
“Kau tahu, bini kau yang telefon aku tadi beritahu kau nak roboh gerai pukul 2 ni. Bini kau kesian kat aku… Kau tak kesian kat aku ke? Anak-anak aku sekolah lagi. Laki aku dah tak ade...”.
Hassan misai mengesat peluh lagi di mukanya lalu memerah sapu tangannya sehingga titis-titis peluh menitis di atas tanah. Sapu tangan itu kemudian dikibas-kibas beberapa kali. Dia kemudian berjalan dekat kepada makcik peah dengan langkah terkedek-kedek disebabkan kegemukannya, lalu dia bertutur:
“Peah, aku memang kesian dekat kau... Dari mula laki kau mati lagi aku kesian dekat kau. Lama-lama aku jadi suka dekat kau. Tapi aku dah ada romlah sekarang. Dia bini aku”.
Nadanya yakin seperti berbisik, mudah-mudahan supaya makcik peah berlembut dan supaya orang-orang lain tak dengar.
Mendengar confession Hassan misai itu makcik peah segera terkedu. Dia tergamam. Kemudian menjawab dengan perlahan takut didengar orang lain: “Kau kawinlah dengan aku. Kalau kau nak robohkan gerai aku sekarang aku tak kisah”.
“Romlah macam mana?” Tanya hassan misai antara hendak dan tak hendak.
“Kau robohkan gerai aku sekarang, cakap dekat romlah kemudian. Aku tunggu kau.” Makcik peah jawab perlahan.
Kemudian sekelip mata makcik peah pun terus berada di atas motorsikalnya dan meluncur pulang ke rumah.
Dalam hati hassan misai ada gembira bercampur resah. Kemudian gerai makcik peah pun roboh menyembah bumi.