Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
angelina julie
Di anjung sebuah rumah di sebuah kampung nan permai pada suatu petang itu makcik Joanna menyeksa aku dengan soalan begini: “kau tak ada kereta, tak ada ijazah macam mana kau nak kawin dengan anak aku?”.
Demi kata-kata yang terpacul keluar dari mulut makcik Joanna, meluat sungguh aku tengok makcik Joanna yang gemuk dan sendat dalam baju kebayanya yang cutting ramping itu.
Lama lebih kurang 10 saat aku terdiam kemudian aku pandang tepat ke mata makcik Joanna yang seram tu seraya aku membalas: “saya yakin Angelina tu nak kawin dengan saya atas dasar cinta, bukan sebab harta!”.
Lepas tu aku langsung tak beri peluang pun makcik Joanna jawab sebab aku dah malas nak bertekak dengan orang tua yang dah menopause. Maka dari anjung rumah makcik Joanna tu aku cepat-cepat melompat atas motorsikal yang diparkir di bawah seraya meluncur laju seumpama motorsikal aku diperbuat daripada kilat.
Rasa-rasanya jawapan aku tadi boleh buat makcik Joanna fikir balik tentang manifestasi prinsip luhur cinta:-
(a) Bahawa cinta itu mengatasi segala-galanya.
(b) Bahawa cinta itu tak boleh dihalang oleh sempadan dan jarak tempat atau waktu.
(c) Bahawa cinta itu tak boleh dibendung tak kira samada taraf orang tu miskin atau kaya, tak kira kau bangsa apa atau samada kau cacat atau normal.
(d) Bahawa cinta itu mulia dan suci sesuci-sucinya.
(e) Bahawa cinta itu berharga melebihi nilai emas segunung.
Tengah aku bermonolog falsafah cinta itu tiba-tiba motorsikalku terangkat naik ke udara. Aku rasa keajaiban berlaku kepadaku kerana berkat kesucian cinta dalam sanubariku. Aku rasa seperti aku dirahmati tuhan.
Semakin lama semakin tinggi aku dan motorsikalku melayang. Angin bertiup sepoi-sepoi membawa aku ke langit biru nan cerah sehingga aku mendarat di atas kepulan awan putih.
Dari situ aku dapat melihat matahari mempunyai wajah. Dia tersenyum kepadaku. Aku pun membalas senyumannya sambil melambai mesra kepadanya.
Aku segera turun dari motorsikal kemudian berbaring di atas empukan kepulan awan putih. Dada ku meresap rasa aman sehingga aku pun dapat melupakan percakaran aku dengan makcik Joanna sebentar tadi, sehingga aku pun terlena diulit mimpi-mimpi indah.
Bila aku terjaga dari lena dalam pandangan samar-samar aku terlihat empat entiti muncul di hadapanku. Kesemua mereka memakai serba putih. Pada hemat aku mereka ini adalah malaikat cinta atau pun bidadari yang tinggal di langit kayangan.
Sedikit demi sedikit pandanganku semakin jelas sehingga aku nampak salah seorang malaikat cinta atau bidadari kayangan itu mempunyai wajah seperti Angelina si kekasihku.
Bidadari Angelina menumpahkan air mata manik ke pipinya. Kemudian bidadari Angelina memegang tanganku. Aku rasa senang sekali dengan elusan tangan bidadari Angelina. Kemudian dengan suara lembut lunak lemak berkrim bidadari Angelina bertanya kepadaku: “Are you ok fendi?”.
Bagaikan ada kuasa mistik dari suara itu dengan segera segenap tubuhku menjalar rasa sakit dan perit. Dengan tidak semena-mena aku dapati aku sedang berbaring di atas katil. Tubuhku separuh berbalut seakan mumia separuh siap. Luka bertompok-tompok di tubuhku.
Aku nampak makcik Joanna gemuk pun ada. Si Brat Pitt dan Tom Cruise housemate aku pun ada dekat katil aku. Mata-mata mereka memandang aku dengan simpati. Ya, kesemua mereka datang memakai baju putih -- secara kebetulannya.
Kemudian aku teringat semula lepas aku keluar dari rumah makcik Joanna aku terus merempit motorsikalku menghala ke simpang jalan besar tak jauh dari situ. Waktu otak aku berkecamuk sambil bermonolog tentang falsafah cinta itulah aku hilang fokus sampai aku kena langgar dengan kereta laju, sampai aku dengan motorsikalku sama-sama melayang ke udara. Lepas tu aku tak ingat apa-apa dah.
Sejak itu falsafah cinta menjadi falsampah cinta bagi ku.