Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
PCB#2: AKU SEPASANG SEPATU PEJABAT WARNA HITAM
Aku dilahirkan di sebuah kilang. Kilang mana? Aku pun tak tahu. Era penyumberan luar ni, syarikat gergasi United Kingdom jarang hasilkan produk di Tanah British lagi.
Setelah siap dibungkus, aku berakhir di rak sebuah outlet beralamatkan Unit 56, Gunwharf Quays Premium Outlet.
Pada suatu hari, seorang lelaki Asia rendah-rendah, debab-debab telah menyarung aku.
"Huihh, sekali pakai terus sedap! Selesa! Aduhai, murahnya harga! Kalau dekat negara kita menangis beli. Dah la cantik!" Kata beliau pada isteri sambil mundar mandir di hadapan cermin. Matanya bersinar-sinar.
Aku terkekeh dalam hati. Alah, pandailah dia kata aku ni cantik. Walhal sepatu lelaki macam aku ni lebih kurang je semua. Kalau tak design macam ni, design macam tu. Pi mai pi mai tang tu juga.
"Serius sedap kasut ni. Serius selesa!" Pujinya lagi.
Sedar tak sedar aku pun bertukar tuan, diterbangkan selama 11 jam ke sebuah negara asing. Negara yang penduduknya kerja makan-makan-makan. Siang malam sibuk sembang politik. Lepas tu kalau memandu belok tak reti bagi signal. Sabarrr ajelah!
Aku digunakan setiap hari untuk ke pejabat dan tugas-tugas luar stesen. Tuan aku nampak begitu gembira dan senang dengan khidmatku.
Setahun berlalu dia komen pada isterinya. "Dah pakai setahun pun sama je sedapnya. Kalau pakai Bata dulu 8 bulan dah barai."
Cukup dua tahun, dia komen lagi. "Fuhh.. tengoklah yang! Steady je kasut abang ni. Dulu kasut Jenama-Malaysia-Tapi-Mahal-Mujur-Beli-Masa-Diskaun-70% yang buat hantaran tu pun dah hancur lepas pakai 2 tahun. Yang ni tahan lagi."
Masuk tahun ketiga aku akhirnya mula menunjukkan tanda uzur. Pada suatu malam di fasa 10 malam terakhir Ramadhan, sedang tuan sibuk melayari laman sosial berlatar biru putih, dia tertancap pada status seorang staf pejabatnya yang cun.
"Wah, dah meniaga kasut UK sekarang staf aku sorang ni."
Matanya meliar menyusuri katalog atas talian. Apabila dah jumpa yang berkenan, terus dia mesej untuk pesanan.
"Oh, lupa. Bos saiz berapa ya? Nanti kawan saya dekat UK pergi tengokkan."
Eh, ak ah. Saiz. Ya tak ya juga. Tuan aku bingkas dan mencapai aku yang terdampar di rak sebelah pintu. Jelas aku lihat perubahan air mukanya. Seperti baru sedar aku ni dah separuh lunyai kulit. Dah sana sini calar balar. Tanda-tanda penuaan jelas kelihatan.
Hati tuaku meruntun. Sedih sangat melihat raut pandang tuanku. Sobsss!
Lantas sedikit tubuhku tertanggal dari tapak. Sedih punya pasal.
"Eh, kasut ni. Mentang-mentang aku duk berangan nak beli kasut baru, dan-dan tu nak koyak. Macam tau-tau je."
Oh, Tuhan! Oh, Tuhann! Tergores sangat hati ni dengar tutur kata dia. Selepas tiga tahun. Selepas tiga tahun yang setia! Kata-kata itu..... Ooohhhhhh!! Air mata yang mengalir aku seka.
Tuan terus membelek, cuba mencari tag saiz pada tubuhku. Dah terpadam la tuan. Dulu dia cetak bawah lidah je. Ni dah berapa lama saya kena balun.
Tiba-tiba mata tuan bertukar buntang!! Bulat berurat!
"Ya Allah, ya Rabbi!!" Dia separa menjerit. Aku turut sama kaget. Apahal nih?
Rupanya tuan baru sedar pada alas kasutku, lapisannya ada bintik tiga rapat-rapat.
Meroyan dia malam tu. Tahu-tahu aku telah dihumban ke dalam rumah sampah berpusat di hujung flat. Tiada dakwa dakwi lagi.
Aku pasrah. Faham dengan reaksi ni. Namun terkilan juga, masa beli tak periksa betul-betul. Entah apa-apa entah dia ni!
Aku redha. Walaupun aku tahu ulama khilaf dalam memberi pendapat tentang lapisan berkenaan yang kini telah dikeringkan, diproses dan tidak lagi boleh membusuk.
Terpuruklah aku di dalam tong gergasi ini. Menunggu nasib seterusnya entahkan ditanam, entahkan dijumpai pekerja asing yang gemar selongkar tempat ni cari barang terpakai.
Sejenak terlintas, mantan tuan aku tu bukan main meroyan sebab katanya sebahagian tubuh aku terdiri daripada bahan yang haram. Habis, yang dia layan gambar gedik-gedik dan tuang waktu pejabat tu tak haram???