Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Segumpal Rambut
- 0
- rebelliben
- 4 years ago
- 6,574
- FREE
Hal yang paling menjengkelkan Sidek sepanjang tempoh PKP ini ialah pengurusan rambut. Sudah 45 hari dia tidak dapat menguruskan rambut. Sekatan jalanraya dan larangan perniagaan ke atas kedai gunting rambut membuatkan Sidek mati kutu bagaimana mahu memperlakukan rambutnya yang semakin hari semakin gondrong itu.
Sekali-sekala Sidek menggunakan gunting dapur dan melakukan beberapa perapian berskala kecil. Inilah masalahnya bila kedai gunting rambut jatuh ke dalam kategori bukan perkhidmatan perlu atau bukan 'essential services'. Satu-satunya alternatif untuk terus beroperasi buat perniagaan yang jatuh dalam kategori sebegini adalah secara dalam talian. Mujur setakat ini belum lagi ada menteri yang lapar terajang keluar cadangan gunting rambut secara dalam talian.
Bagi Sidek, setiap manusia perlu sentiasa mementingkan elemen segak dan kemas. Tidak kiralah dalam apa jua situasi pun, krisis? bencana? Segak dan kemas mestilah menjadi keutamaan. Tanpa segak dan kemas, robohlah seluruh ketamadunan manusia. Untuk tampil segak dan kemas, ia mestilah bermula daripada kepala iaitu rambut, misai, jambang dan janggut. Sekurang-kurangnya begitulah mengikut akal Sidek.
Hari ini Sidek sudah hilang sabar. Selain mahu rambutnya diuruskan, Sidek juga sebenarnya rindukan belaian dari tukang gunting. Menonton dari cermin kecekapan tukang gunting bersilat dengan mesin, gunting, pisau dan sikat membuatkan Sidek rasa stim. Dia juga sudah terbau-bau haruman lemon krim cukur bersama rasa ais-nya apabila tukang gunting menempel dan mula menggosok-gosokkannya ke kulit pipi.
Mata Sidek liar menatap skrin telefon sambil jemarinya lincah mencari maklumat sekiranya terdapat kedai gunting rambut berhampiran yang beroperasi dalam tempoh PKP ini. Selepas setengah jam menggentel telefon, Sidek mula rasa kecewa. Namun segera dia teringat kepada temannya, Razmin yang kelihatan kemas dan segak semasa panggilan video pada minggu lepas. Tanpa berlengah, Sidek terus saja membuat panggilan dan nyata telahannya tentang penampilan Razmin menghasilkan maklumat yang cukup berguna. Sekarang barulah Sidek berasa girang.
Selepas kelihatan segak dan kemas nanti, Sidek merancang untuk membuat panggilan video kepada makwe-nya yang bernama Fazura. Fazura sekarang sedang bercuti di luar negara. Kebetulan semasa krisis Covid-19 baru mula merebak Fazura dapat membeli tawaran tiket murah ke Korea Selatan. Begitupun khabarnya Fazura sedang menunggu giliran untuk dibawa pulang semula ke tanahair kerana krisis wabak di tanah Korea begitu dahsyat. Sidek tidak dapat ikut bersama kerana urusan kerja. Walaupun risaukan teman wanitanya, Sidek tetap berasa mujur kerana dirinya tidak ikut bersama.
Menjelang senja, Sidek sudah tiba di rumah. Wajahnya bersinar-sinar keriangan. Dia terus mencapai tuala menuju ke bilik air. Sambil mandi, Sidek membelek-belek wajahnya di hadapan cermin. Dia merasakan dirinya benar-benar kelihatan tampan selepas rambutnya diurus. Dengan selesainya urusan rambut, maka perihal segak dan kemas sudah berada di dalam genggaman.
Malam itu, Sidek menghubungi Fazura. Mereka berbual menerusi panggilan video. Adakalanya panggilan terputus, namun Sidek cepat-cepat mendail semula. Keyakinannya malam ini benar-benar tinggi. Apatah lagi bila Fazura memuji-muji wajahnya yang tampan selepas rambutnya diuruskan. Fazura mahu sebaik sahaja tiba di lapangan terbang nanti, Sidek datang menjemputnya dan berharap gaya rambutnya nanti seperti sekarang. Mereka turut merancang untuk makan malam bersama. Tentang lokasinya di mana, itu kemudian. Bergantung pada bajet.
Entah jam berapa Sidek tidak pasti, mereka begitu ralit melepas rindu sehinggalah lampu-lampu di bilik Sidek mulai meragam. Pada mulanya tidaklah kerap. Ia cuma berkelap-kelip dan sebentar-bentar lampu akan terpadam dan beberapa saat kemudian ianya akan menyala semula. Sidek buat tidak peduli.
Malangnya aktiviti lampu-lampu di bilik Sidek semakin rancak. Malah kali ini ia mula mengeluarkan bunyi yang aneh. Rasa hairan mula tumbuh di sanubari Sidek. Meskipun Sidek ada debar, dia tidak mahulah Fazura sampai menghidunya. Sidek cuba berbual seperti biasa, namun panggilan mereka terputus dan telefon Sidek terpadam serta-merta.
Sidek merungut-rungut menyalahkan kondisi baterinya. Dari atas tilam, tangannya dijulur meraba-raba mencari pengecas bateri di meja bersebelahan katilnya. Semasa proses meraba itulah Sidek merasakan lengannya seperti dibelit oleh sesuatu. Lembut, licin, namun menyakitkan. Apabila Sidek terpandang lantai biliknya, dia terpegun melihat berbilion helai rambut sedang tumbuh seperti rumput yang tumbuh di atas padang. Rambut-rambut itu bukan sekadar tumbuh malah meninggi dengan kadar kelajuan yang agak pantas mengejar cahaya lampu, seperti rumput mengejar cahaya matahari lagaknya.
Dalam masa beberapa saat saja, lantai bilik Sidek sudah dipenuhi dengan rumputan rambut setinggi lalang dan terus meninggi. Sidek lencun berpeluh. Jantungnya berdegup kencang. Kedua lengan dan kakinya sudah dibelit oleh gumpalan rambut yang beraksi seperti seekor ular. Manakala mulutnya penuh tersumbat dengan rambut. Perlahan-lahan sebenarnya Sidek sedang ditelan rambut. Belitan kuat rambut yang semakin kejap dan ketat itu membuatkan Sidek langsung tidak dapat meronta. Sekarang kita sudah boleh mendengar bunyi tulang belulangnya yang sedang patah satu persatu.
Apa salah dan dosanya, tidaklah Sidek tahu. Namun hasil maklumat daripada perbualan orang sekitar, rupanya setiap kali pelanggan keluar dari kedai gunting rambut tersebut akan ada segumpal rambut yang mengekori mereka pulang.