Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Dendam Beras

 

Sebaik mendengar Perintah Kawalan Pergerakan atau kata akronimnya PKP itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Zaidi bergegas bersiap-siap menukar pakaian. Apabila ditanyakan oleh anaknya mahu ke mana? Zaidi jawab beli beras. Di mana? Boleh ikut? Zaidi tidak menjawab. Dia mencapai kunci kereta dan berdesup hilang dari pandangan.

Sepanjang perjalanan, pelbagai kemungkinan yang terbit dari akalnya membuatkan fikiran Zaidi berselerak. Jantungnya berdebar, tangannya menggeletar, kepalanya agak pening sedikit. Melepasi simpang utama menuju ke bangunan premis perniagaan, Zaidi mula rasa loya namun dia cuba mengawal diri. Untuk itu dia cuba bersiul-siul mengikut rentak lagu yang sedang bermain di dalam radio. Sempat, sempat, beras belum habis!

Beras belum habis.

Lima hari selepas PKP, Zaidi masuk ke dalam stor rumahnya yang sudah diubah suai dan diperkemaskan menjadi stor simpanan bekalan makanan. Tersenyum lebar dia melihat stok bekalan makanannya, terutamanya beras. Cukup makan untuk satu tempoh yang panjang. Tak perlu risau sekiranya di luar nanti mula kehabisan bekalan. Zaidi berjalan, membelek dan memeriksa stok bekalan makanannya satu persatu. Gula, garam, tepung, minyak, semuanya dalam keadaan sedia. Nanti bila-bila keluar, Zaidi akan tambah lagi. Paling penting, keluarganya tidak akan sampai kebulur.

Sore itu isteri Zaidi membuka stok beras baru yang diambil dari dalam stor untuk ditanak buat persediaan makan malam. Selepas memindahkan dua cupak ke dalam periuk tanak nasi, beras pun dibasuh seperti biasa. Pertama kali air menyentuh beras, warnanya bertukar menjadi merah. Walaupun sedikit kehairanan, isteri Zaidi menuang saja air basuhan beras tersebut ke dalam sinki semula. Mungkin warna beras turun, mungkin beras ini dari baka yang lain, barangkali baka yang lebih baik, disebabkan itu ia berwarna merah.

Namun setiap kali isteri Zaidi membasuhnya, warna air akan tetap bertukar menjadi merah. Lama kelamaan isteri Zaidi mula hilang sabar. Dia memanggil suaminya dan bertanya apa jenis beras yang dibelinya itu. Susah sangat hendak membasuhnya. Zaidi yang sedang ralit bermain telefon naik berang dan mula menyalahkan isterinya kerana hal semudah membasuh beras pun masih tidak lulus. Inilah akibat mendapat isteri bekerja, sampai hal memasak pun masih tidak mahir-mahir, rungut Zaidi.

Zaidi mengambil alih tugasan. Air ditadah masuk ke dalam periuk, namun seperti tadi warnanya tetap bertukar menjadi merah. Zaidi diam dan berfikir. Sebentar kemudian tangannya mula menggaul-gaulkan beras dengan air. Mengikut akal Zaidi, mungkin dengan cara ini warna merah yang turun dari beras akan cepat habis, dan warnanya akan kembali jernih nanti.

Namun semakin lama Zaidi menggaul beras, nampaknya benda lain pula yang terjadi. Air semakin likat dan warnanya berubah merah pekat, bau hanyir pula naik memenuhi ruang. Menusuk-nusuk hidung seperti bau bangkai. Zaidi dan isterinya masing-masing menutup hidung dengan tangan. Anak-anak di ruang hadapan sudah mula bising-bising bertanya mengapa satu rumah berbau bangkai.

Zaidi membuka pintu belakang dan membuang segala isi yang ada di dalam periuk yang dikendongnya itu ke dalam semak. Berderau darahnya. Benar-benar aneh. Tak mungkin beras membangkai. Mana ada dalam sejarah pertanian beras membangkai? Beras sudah hidup bersama-sama dengan manusia semenjak ribuan tahun. Belum pernah lagi dalam catatan sejarah manusia, beras bangkit dari persemadiannya dan melancarkan perang ke atas bangsa manusia sehingga manusia mati kebuluran.

Zaidi mengarahkan semua kampit beras dalam stor simpanan dibuka. Dia pasti ini hanya masalah teknikal kecil, berapa banyak kampit beras yang dibelinya, takkanlah semuanya rosak?

Dalam masa beberapa jam, semua kampit beras di dalam simpanan keluarga Zaidi sudah dikoyakkan, diambil secupak dan cuba dibasuh. Malangnya semua kampit beras pun menunjukkan hasil yang sama. Airnya bertukar menjadi merah likat dan berbau hanyir. Keadaan di dalam stor pula sudah seperti tongkang pecah dengan beras-beras bertaburan di lantai stor.

Zaidi melekapkan wajahnya ke dinding stor. Kemudian dia terduduk melihat tompokan stok bahan makanan yang dibelinya untuk melindungi keluarganya daripada kelaparan sepanjang tempoh PKP, terutamanya beras. Sebentar-bentar Zaidi ketawa berdekah-dekah, sebentar-bentar dia menangis teresak-esak. Selepas mengesat airmatanya berulang kali, Zaidi bangun dan keluar dari stor.

Zaidi mengarahkan isterinya untuk tanak saja beras tersebut. Tengah malam itu mereka sekeluarga dipaksa oleh Zaidi makan nasi berwarna merah likat dan berbau hanyir seperti bangkai. Zaidi memegang pisau erat-erat dan mengugut setiap ahli keluarganya untuk makan nasi tersebut.

Entah siapa tahu berapa banyak lagi kampit beras yang mereka ada dalam simpanan.

Karya asal Ben Nizari

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen COVID-19

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan rebelliben

Read all stories by rebelliben