Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Hari Ke-45

 

45 hari berkurung di dalam rumah, dia mula merasakan serba tak kena. Otaknya tidak cerdas seperti selalu. Dia tidak dapat berfikir atau berimaginasi seperti selalu manakala tubuhnya pula semakin terasa berat akibat proses penghadaman yang lambat. Perutnya seolah-olah gembira benar menyimpan makanan lama-lama. 

Cuaca panas terik yang konsisten dari sehari ke sehari menjadikan suhu siang dan malam lebih kurang sama. Dia tidak mendapat kualiti tidur. Siang dan malam tubuhnya sentiasa berpeluh menyebabkan dia berasa tidak selesa. Melekit dan berbau. Walaupun selepas mandi berulang kali. Rumah ini pula sememangnya tidak mempunyai walau seunit pun alat pendingin hawa. Rumah yang disewa bersama teman-teman dari pelbagai latar dan ragam ataupun rumah bujang bukanlah rumah untuk keselesaan, ianya semata rumah buat berlindung.

Begitulah terkadang ada hari yang awannya gelap berarak, menukar cuaca menjadi mendung seolah mahu hujan, tetapi kemudiannya sekelip mata saja matahari terjengul semula. Mencincang dan menerobos awan gelap dengan sinaran teriknya yang tajam. Lantas menghangatkan semula permukaan bumi dan udaranya. Meskipun ada masanya tetap berlaku hujan, tetapi hanya sebentar. Hujan yang cuma menambahkan lagi kepanasan. 

Sikap-sikap alam yang sebegini, walaupun menjengkelkan dia terpaksa menerimanya. Di sini dia hanya berseorangan. Teman-teman serumahnya semua sudah dapat meloloskan diri pulang ke kampung halaman, ke pangkuan keluarga masing-masing. Seorang temannya pernah mempelawa untuk menghantarnya sehingga ke perhentian bas pada malam PKP dikuatkuasakan, namun dia menolaknya kerana dia mengira dia mempunyai rancangan yang lebih baik. 

Hari ini sudah hari ke-45. PKP tidak menawarkan kehidupan sosial seperti kebiasaan. PKP adalah isolasi ruang, dan isolasi ruang pernah dibicarakan oleh Karl Mannheim. Manusia dipaksa oleh faktor luaran untuk meniadakan kontak sehingga menjadikan mereka tersisih dari pergaulan komunitinya. Seperti dipenjara. Akibatnya, akan ada manusia yang akan tercabut dari perlindungan kelompoknya atau dalam kes haiwan, akan terlepaslah dari gerombolannya. 

Mannheim menyatakan bahawa seperti haiwan, orang-orang yang terlepas dari kelompoknya ini berpotensi menjadi lebih agresif dan lebih ganas berbanding orang yang tetap memiliki kontak dengan kelompoknya. Mereka yang mengalami keterasingan akan lebih cenderung untuk bertingkahlaku anti sosial. 

Mujur saja kononnya kemajuan dan kecanggihan teknologi berjaya melahirkan cara berhubung dan berkomunikasi tanpa memerlukan kontak fizikal. Penemuan ini disebut-sebut menjadi antara yang paling berguna dalam sejarah komunikasi manusia moden. Dengan segala kecanggihan inilah baru manusia seluruhnya dapat berhubung tidak kira di ceruk mana dia berada. Tentang adakah kecanggihan yang sama inilah yang akan merobohkan seluruh peradaban kemanusiaan? Kapitalisme tidak berminat membincangkannya. 

Akhir-akhir ini tengkuknya rasa merinding setiap kali terlalu lama berada di ruangan media sosial. Semakin ralit dia bermain media sosial, semakin kuat dia terasa dicengkam oleh suatu semangat yang bersifat bengis, kejam dan menindas. Media sosial dalam rupanya yang sebenar seolah-olah sebuah rumah agam tua berpuaka. Manakala penghuninya seperti sekumpulan makhluk-makhluk yang tujuan keberadaannya cuma untuk berbuat kejahatan. 

Akibatnya dia jatuh sakit, dan apabila dia tidak dapat lagi bertahan dengan kesakitan, dengan saki-baki kudrat yang ada dia berusaha dengan sepenuh jiwa dan raganya untuk melakukan hitungan. Dalam dapatannya, manusia sebenarnya sedang berada di penghujung kemanusiaan. Tidak hairanlah mengapa kesakitan, kekejaman dan kesengsaraan memenuhi segenap ruang atmosfera, dan seperti virus ianya mewabak ke setiap anak manusia yang masih bernyawa. 

Kapitalisme pula sedang mencapai peringkat terakhirnya. Membungkus manusia bersama kerakusan, ketamakan dan sikap mementingkan diri mereka itu. Kemudian nanti kapitalisme akan membawa manusia terjun ke jurang kemusnahan yang paling dalam. Manakala sosialisme tidak akan berjaya membuat kemunculan kerana keangkuhan dan kesombongan yang begitu padu mengapungnya membuatkan penganutnya terawang-awang di udara sampai sudah tidak akan dapat menginjak tanah. 

Justeru apabila sosok Perdana Menteri muncul di skrin telefonnya dalam satu siaran langsung mengumumkan tentang perlanjutan tempoh PKP, dia cuma tersenyum lirih. Bukan di Malaysia saja, bangsa manusia di seluruh dunia sebenarnya sedang begitu gigih mencuba untuk mengekang manusia daripada pupus total. Malangnya apa yang mereka cuba abaikan adalah fakta bahawa bumi sudah membuat pilihan, iaitu untuk mengorbankan manusia dan merawat alam. Muktamad dan begitulah pengakhirannya. 

Dalam keadaan berbaring, dia memejamkan mata. Tangan dan kakinya dirapatkan ke tubuh dalam posisi lurus. Fikirannya dikosongkan. Selang beberapa minit kemudian, bulu roma di tubuhnya mulai gugur satu persatu, dan dari setiap liang romanya keluar sutera-sutera yang hidup. Sutera-sutera ini memanjang dan mula membaluti tubuhnya sedikit demi sedikit. Apabila balutan sutera mencapai ketebalan satu inci, tubuhnya perlahan-lahan terangkat ke udara dan mulai berputar. Bunyi dengung putaran memenuhi segenap ruang rumah, manakala cahaya dari lampu-lampu berkelap-kelip tidak tentu hala. 

Putaran yang semakin lama semakin laju itu memudahkan sutera-sutera hidup tadi untuk membentuk sarung pelindung yang cukup keras dan padu. Ini akan melindungi tubuh sekaligus dirinya daripada sebarang gangguan luaran sehinggalah bumi menuntaskan kerja-kerjanya nanti. Kemudian sebaik saja seluruh proses pembalutan lengkap, tubuhnya yang mengapung tadi terhempas semula ke lantai dan suasana kembali hening. 

Di luar, bumi sudah memulakan tugas terakhirnya.

Karya asal Ben Nizari

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen COVID-19

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan rebelliben

Read all stories by rebelliben