Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
HAMZAH
Sara mengibas-ngibas debu di atas meja sambil merungut. Dia paling tidak suka disuruh melakukan sesuatu yang di luar bidang kerjanya. Tapi apakan daya apabila Tuan Haji Bukhari yang memberi arahan.
"Sara, procurement executive kita yang baru akan melaporkan diri esok pagi. Saya tengok bilik kosong depan bilik awak tu macam tak teratur sikit. Tolong tengokkan bilik tu nanti ye sebelum orang baru sampai."
"Aku mula-mula masuk dulu pun kemas bilik sendiri. Lemak betul orang baru ni," ngomelan Sara tidak berkesudahan. Sara datang awal pagi ini untuk memastikan bilik itu sempurna sebelum ketibaan ‘si orang baru'.
Tepat jam 9 pagi, kelihatan Tuan Haji Bukhari melangkah masuk ke pejabat bersama seorang lelaki yang pada agakan Sara adalah pekerja baru yang dimaksudkan. Sara buat-buat sibuk. Tuan Haji Bukhari memperkenalkan eksekutif baru kepada semua pekerjanya.
"Sara..." Sara angkat muka memberi reaksi kepada panggilan Tuan Haji Bukhari. Sekali imbas ditolehnya ke arah pemuda berkemeja putih & bertali leher merah hati yang setia menurut kemana sahaja langkah Tuan Haji Bukhari pada pagi itu.
"Macam kenal je mamat baru ni," bisik Sara dalam hati.
"Sara Suria, Project Executive in this Canopy Forest Sdn. Bhd. Kenalkan, Procurement Executive baru kita, En. Hamzah Salihin."
********************************************************
Sara menjeling budak berhingus itu dengan ekor matanya. Rasa menyampah sangat-sangat. "Hari-hari datang lambat," getus hati Sara.
Sara panas hati pagi itu. Berpeluh-peluh badannya setelah baru menyapu seluruh kelas 5 Merah. Terpaksa. Hamzah datang lambat lagi. Kalau Sara tak ambil alih tugas Hamzah, dirinya sebagai ketua kelas darjah 5 Merah akan menjadi mangsa bebelan Cikgu Rafeah. Dijelingnya lagi pada Hamzah yang duduk di hujung kelas. Diam membatu. Mukanya lesu. "Buat muka kesian la tu," bisik Sara pada Raihan yang duduk di sebelahnya.
"Dia ada alasan kot datang lambat," Raihan cuba menyejukkan hati Sara.
"Ah...sengaja..." Sara masih tidak puas hati. Hamzah duduk membatukan diri sementara menanti cikgu masuk ke kelas. Sesekali dia mengesat hingusnya dengan baju sekolah yang tidak lagi putih, kepam. Seluar biru gelapnya pun tidak lagi gelap. Tompok-tompok luntur jelas kelihatan dengan kancing besar menggantikan butang yang sudah lama tertanggal. Tiada tali pinggang. Hanya tali raffia yang mencerut ketat.
**********************************************************
Zap! Zap! Zap!
Aduh...ngilu telinga Sara mendengarnya. Darjah 5 Merah sunyi sepi. Baki 31 orang murid-murid di dalam darjah 5 Merah tunduk, buat-buat sibuk menyelak helaian muka surat buku teks Matematik.
"Kamu buat apa dirumah? Salin lampin adik? Tolong mak masak? Angkat kayu api? Jangan beri alasan pada saya. Yang satu tahu kerja sekolah yang saya beri mesti siap. Faham?" Bagai halilintar gema suara Cikgu Rafeah. Hamzah hanya mengangguk lemah. Tapak tangannya perlahan-lahan mengusap punggungnya yang perit dek libasan rotan tadi.
"Dah lah datang lambat. Kerja sekolah pun tak siap. Tak pasal-pasal satu kelas kena amuk," bisik Sara dalam hati.
Kring!!!!!!!!!!!! Lega. Bunyi loceng menandakan waktu rehat melapangkan dada semua murid darjah 5 Merah.
*******************************************************
Nasi lemak sepinggan, buah tembikai sepotong, air sirap segelas & sebiji kuih karipap buat bekalan di dalam kelas jika lapar nanti. Burrp... Sara sendawa kekenyangan. Kantin ditinggalkan memandangkan waktu rehat hanya tinggal 5 minit sahaja lagi.
Baru selangkah kaki Sara ke dalam kelas, telinganya menangkap satu bunyi. "Eh, ada orang menangis lah."
Peka sahaja telinga Sara menagkap bunyi tangisan seseorang itu. Sara tercari-cari dari mana datangnya. Nun di belakang kelas, di tepi longkang. Tersedu-sedu Hamzah sambil mencecah biskut kering ke dalam air kopi sejuk. Setitis dua air matanya jatuh menitik ke dalam air kopinya.
Burrp!! Sara sendawa lagi. Kuat. Hamzah terkejut. Cepat-cepat menyeka air mata di pipi dan meyorokkan plastik yang berisi biskut kering di belakangnya. Malu agaknya dia.
Senyap. Sesekali baki sedu Hamzah memecah kesunyian. Perlahan-lahan Sara mendekati Hamzah.
"Nah," Sara menghulurkan karipap yang dibelinya tadi.
"Ambillah, aku sengaja beli lebih tadi." Hamzah teragak-agak.
"Ambillah cepat," desak Sara.
Hamzah mengambil karipap dari tangan Sara lalu terus dimakannya. Agak gelojoh. Lapar sangat agaknya. Sara terus masuk ke dalam kelas. Tak sanggup Sara nak tengok keadaan Hamzah.
Suara Ustazah Balqis di dalam kelas selepas rehat itu bagai angin lalu di telinga Sara. Sesekali dia menoleh ke belakang memandang ke arah Hamzah yang kuyu matanya.
*********************************************************
Kelas Sains pada pagi Rabu berjalan lancar, walaupun tanpa kehadiran 2 orang murid 5 Merah. Raihan, yang duduk di sebelah meja Sara, tidak hadir kerana demam. Lagi seorang, Hamzah. Sara tidak pasti kenapa Hamzah tidak datang ke sekolah.
10 minit sebelum waktu pertama tamat, kelihatan guru besar, Cikgu Lukman Hakim, melangkah masuk ke dalam darjah 5 Merah. Selepas berkata sesuatu kepada Cikgu Fateen, Cikgu Lukman Hakim berpaling menghadap murid-murid darjah 5 Merah.
"Assalamualaikum semua. Di sini cikgu nak buat pengumuman sedikit. Rakan kamu, Hamzah, telah kehilangan ibunya. Ibunya meninggal dunia subuh tadi,"
Sara terpaku. Ibu Hamzah meninggal dunia? Sakit apa? Selama ini tiada siapa pun yang bercerita yang ibu Hamzah sedang sakit.
"Saya dan beberapa orang cikgu yang lain akan ke rumahnya sekarang untuk menziarah. Sebagai rakan sekelas, ada sesiapa yang hendak pergi menziarah sekali? Kita pergi naik van sekolah," sambung Cikgu Lukman Hakim.
"Cikgu, saya nak ikut," laung Sara sambil mengangkat tangannya.
Sepanjang perjalanan ke rumah Hamzah, Sara membisu seribu bahasa. Sara hanya memasang telinga mendengar pebualan cikgu-cikgu di dalam van mengenai Hamzah. Rupa-rupanya ibu Hamzah telah hampir setahun terlantar di rumah akibat serangan angin ahmar. Ayahnya telah meninggal dunia 3 tahun yang lalu dan Hamzah adalah anak sulung daripada 3 orang adik beradik. Sejak ibunya terlantar sakit, Hamzahlah yang menguruskan ibunya, rumah dan adik-adik dengan bantuan jiran-jiran berhampiran.
Setibanya di rumah Hamzah, orang telah ramai berkumpul di halaman rumah. Jenazah ibu Hamzah sedang dibawa keluar dari rumah. Hamzah kelihatan berdiri di tepi tangga, sambil menenangkan 3 orang kanak-kanak kecil yang sedang menangis. Mungkin itu adalah adik-adik Hamzah.
Sara mengeluh. Sara rasa menyesal. Menyesal kerana selalu marahkan Hamzah kerana datang lambat ke sekolah dan tidak menyapu kelas. Terkilan kerana selalu menyalahkan Hamzah apabila Cikgu Rafeah marah-marah di dalam kelas apabila ada murid yang tidak menyiapkan kerja sekolah. Patutlah Hamzah selalu datang lambat. Cikgu Rafeah pun mesti terkilan kerana selalu marahkan Hamzah.
Hamzah memandang ke arah Sara. Tiada apa-apa reaksi dimukanya sambil berlalu mengiringi jenazah ibunya ke pusara.
Itulah kali terakhir Sara berjumpa dengan Hamzah. Keesokan harinya, Cikugu Lukman Hakim masuk ke kelas lagi, memberitahu mengenai Hamzah. Hamzah dan adik-adiknya telah dihantar ke rumah anak-anak yatim di bandar dan bersekolah di sana.
"Hamzah kirim salam pada kamu semua. Dia pesan, dia minta maaf kalau ada buat salah dengan kawan-kawannya di dalam kelas ini."
Sara merenung kerusi yang kosong di belakang kelas. "Aku yang sepatutnya minta maaf pada dia."
********************************************************
Sara datang awal ke pejabat pagi ini. Ada dokumen yang perlu dikemaskinikan sebelum mesyuarat tender pembelian jentera baru pada pukul sepuluh nanti.
Pintu pejabatnya yang memang tidak berkunci ditolak. Semerbak bau kopi dan kuih menerpa ke hidungnya sebaik sahaja pintu di buka. Secawan kopi panas dan sebiji karipap yang agak besar saiznya sedia terhidang di atas mejanya.
"Siapalah yang baik hati belikan aku breakfast ni?" bisik hati Sara sambil mengambil nota yang terlekat pada cawan kopi panas.
‘SARA, TERIMA KASIH. MAAF, SAYA TAK SEMPAT BERTERIMA KASIH PADA AWAK 14 TAHUN DAHULU. - HAMZAH'
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen UmumCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) Dicelah-celah kesibukan, akhirnya berjaya juga Teja menyiapkan cerpen yang kedua.
- Teja
- 16 years ago
-
2) tejaaaaaaaa ... seperti lama tiada berjumpa. orang dah berkelana dua sekapal. :P .bz lah ye~
- zInggOf
- 16 years ago
-
3) Teja bizi dgn keje2 ofis...one exec baru berhenti & my boss is so cerewet to take a new one. So all projects Teja kena handle. Kapasitor ni Teja boleh buka sekejap2 je...tak sempat nak baca & komen every post.
- Teja
- 16 years ago
-
4) aaaaaaaaaaaaaaa teja. suka sangat!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
suka nya!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
suka!!!!!!!
serius. serius suka. ah. memang best!- zInggOf
- 16 years ago
-
5) waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!! *jadi mcm apun juga
mahu sambungan la..plis! plis! plis teja!
sambung laaa.....
5 star!!! ;)- paper_cat
- 16 years ago
-
6) Zing : Tq =)
p_c : tengah berkira-kira jugak nak sambung. insyaallah...tggu ek...- Teja
- 16 years ago
-
7) nice & simple..teringat zaman sekolah dulu..err..bkn hamzah..xde hamzah zmn sek~~ hehe =)
- syud
- 16 years ago
-
8) suke2...pat2 sambung lagi~hehhehe
- QaQa
- 16 years ago
-
9) syud - haaa..kalau bukan hamzah namanye, sape ek...=)
Qa2 - tq...insyaallah...- Teja
- 16 years ago
-
10) wu wuu wuu . hamzaaaaah.
ni mesti kena ada sambungan ni teja! mesti!- cahatomic
- 16 years ago
-
11) cantek ceritanya.
- blur12
- 16 years ago
-
12) sambung....sweet -)
- adra
- 16 years ago
-
13) "Yang satu tahu kerja sekolah yang saya beri mesti siap. Faham?"
satu tahu? wow!
(saya terbaca sekali lagi.. bergenang sket air mata. wiuu)- cahatomic
- 16 years ago
-
14) sedihnya..
- mizz_aszni
- 15 years ago